Iklan

Sukar Cina sokong gerakan haluan kanan Dr Mahathir, kata penganalisis

Alfian Z.M. Tahir2 years ago13th Nov 2022Berita
Pejuang candidates annoucement tmi 04
Pemerhati berpendapat sukar masyarakat Cina menyokong GTA pada PRU15 ini kerana gabungan itu merupakan kumpulan Melayu haluan kanan, selain tiada orang Cina sertai gabungan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2022.
Iklan

HAMPIR mustahil bagi masyarakat Cina untuk mengundi Gerakan Tanah Air (GTA) pimpinan Dr Mahathir Mohamad kerana gabungan itu digelar sebagai kumpulan Melayu paling kanan, kata pemerhati.

Mereka berkata, tidak ada sebab orang Cina sokong GTA, terutamanya apabila tiada wakil atau calon kaum tersebut dalam gabungan politik yang baru ditubuhkan itu.

Pemerhati juga mempersoalkan sama ada GTA bersedia menyentuh isu sensitif seperti Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) atau isu sekolah vernakular yang menjadi perbalahan antara kerajaan Barisan Nasional dan pembangkang selama bertahun-tahun.

Ahli akademik Universiti Tasmania James Chin berkata kebanyakan orang Cina sudah menganggap Umno sebagai parti perkauman, malah lebih buruk lagi apabila adanya satu lagi kumpulan Melayu haluan kanan.

Tambah Chin tiada orang Cina mahu mengundi GTA walaupun ahli politik berusia 97 tahun itu minta disokong.

“Anda ada orang dari Isma dalam GTA, yang merupakan kumpulan paling kanan dan perkauman. Bagi orang Cina, Umno sudah teruk, malah adanya Isma dalam GTA jauh lebih teruk.

“Saya tidak nampak bagaimana dan mengapa orang Cina akan mengundi GTA. Saya tidak fikir mereka akan pertimbang,” katanya.

Pada Sabtu, Dr Mahathir meminta pengundi Cina memberikan sokongan kepada GTA bagi membolehkan kerajaan yang bersih dibentuk.

Katanya, walaupun partinya dan pakatan itu pro orang Melayu, mereka tidak anti orang Cina.

Sentimen Chin turut dikongsi Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura yang mengingatkan Dr Mahathir sudah dapat sokongan kaum Cina ketika bersama Pakatan Harapan pada pilihan raya umum (PRU) lepas.

Katanya orang Cina tidak akan mengundi GTA kerana Dr Mahathir sekali lagi berpaling ke arah ideologi ketuanan Melayu.

“Ada satu ketika semasa PRU lepas, sokongan orang Cina terhadap Dr Mahathir amat tinggi.

“Tetapi selepas beliau letak jawatan secara mengejut semasa Langkah Sheraton dan sekali lagi beralih kepada ideologi ketuanan Melayu, sukar untuk beliau mendapat kepercayaan orang Cina buat masa ini,” katanya.

Penganalisis mempersoalkan adakah GTA ada apa-apa untuk ditawarkan kepada orang Cina, selain bersediakah gerakan itu untuk sentuh isu sensitif seperti UEC dan sekolah vernakular. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2022.

Sedia tolak ansur dengan ideologi Melayu haluan kanan?

Sementara itu, ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali bertanya sama ada GTA bersedia untuk bertolak ansur dengan ideologi Melayu paling kanannya untuk tambat pengundi Cina.

Beliau berkata tidak ada sebab untuk orang Cina menyokong Dr Mahathir pada PRU15 kerana ada parti lain yang lebih terbuka berbanding GTA.

“Tiada sebab untuk itu kerana tidak ada seorang pun orang Cina dalam GTA, apatah lagi calon pilihan raya. GTA adalah kumpulan ketuanan Melayu. Tak logik minta sokongan orang Cina.

“Ada parti lain yang turut menawarkan kerajaan bersih dan antirasuah.

“Mengapa orang Cina perlu pilih kumpulan Melayu haluan kanan? Susah orang Cina undi parti ultra Melayu.

“Apa yang boleh GTA tawarkan kepada orang Cina, adakah mereka bersedia untuk berkompromi isu UEC yang menjadi perdebatan sejak bertahun-tahun? Adakah mereka akan iktiraf sekolah vernakular untuk dapat undi Cina? Ini persoalan yang perlu dijawab Dr Mahathir,” kata Mazlan.

GTA yang terdiri daripada Pejuang, Putra, Berjasa, Iman dan Gagasan Bangsa akan bertanding di 121 kerusi Parlimen seluruh negara pada PRU15, dengan kebanyakan kerusi ditandingi di kawasan majoriti Melayu.

Pilihan raya kali ini akan menyaksikan parti Melayu berjuang keras untuk mendapatkan undi Melayu melalui penyertaan GTA, Amanah (Pakatan Harapan), Bersatu dan PAS (Perikatan Nasional), dan Umno (Barisan Nasional) di kebanyakkan kerusi.

Di Perak, GTA akan bertanding di Tapah, Kuala Kangsar, Larut, Parit, Bukit Gantang, Lumut, Tanjung Malim, Sungai Siput, Tambun dan Teluk Intan manakala di Pulau Pinang pula gerakan itu akan bertanding di Balik Pulau, Permatang Pauh, Bagan, Tasik Gelugor dan Kepala Batas.

GTA juga membuat penampilan sulung di Terengganu, dengan bertanding di lapan kerusi Parlimen negeri itu.

Di Selangor GTA akan bertanding di 17 kerusi Parlimen manakala di Kuala Lumpur, ia akan tanding di tujuh kerusi. – 13 November, 2022.

Iklan
Iklan