Henti isu kitar semula untuk tarik pengundi, kata penganalisis
Iklan
MENJELANG hari mengundi yang kurang lima hari lagi, parti politik masih belum menjelaskan secara terperinci manifesto pilihan raya mereka dan hanya bergantung kepada isu lama, termasuk retorik politik, untuk menarik perhatian pengundi, kata pemerhati politik.
Mereka berkata ahli politik sepatutnya menyentuh manifesto pilihan raya dan bukannya menyerang isu peribadi calon lawan.
Tambah mereka, pengundi muda terutama pengundi kali pertama ingin mengetahui lebih lanjut mengenai penyelesaian bagi membaiki ekonomi negara dan jika kerajaan masa depan boleh menyediakan peluang pekerjaan.
Barisan Nasional minggu lalu menjanjikan pendapatan asas minimum RM2,208 untuk setiap isi rumah dan pendidikan tinggi percuma untuk golongan miskin manakala Pakatan Harapan menjanjikan pengurangan kadar tol Lebuhraya Utara-Selatan sementara Perikatan Nasional berikrar akan mewujudkan satu juta pekerjaan baharu.
Pengarah Eksekutif Ilham Center Hisomudin Bakar berkata ahli politik tanpa mengira parti politik masih dalam penafian dan khayalan kerana mereka terus mengupas isu lama.
Menurut Hisomudin, pengundi ingin mendengar penyelesaian bagi memulihkan masalah kewangan negara tetapi ahli politik masih menggunakan retorik politik dalam banyak ceramah mereka.
“Menggunakan isu lama semasa ceramah adalah untuk menimbulkan gembar-gembur dan mendapat perhatian rakyat tetapi ini bukan keutamaannya, bukan apa yang pengundi mahukan.
“Mereka mahu tahu bagaimana kerajaan akan datang memulihkan ekonomi tetapi ahli politik ini nampaknya tidak faham apa sebenarnya yang dikehendaki pengundi. Mereka lebih suka bercakap tentang retorik berbanding menawarkan penyelesaian,” katanya.
Beliau menyifatkan pada masa ini Pakatan Harapan adalah satu-satunya pakatan yang berani mengadakan perhimpunan terbuka, manakala Perikatan Nasional menggunakan platform media sosial seperti TikTok untuk mendapatkan pengundi.
Barisan Nasional pula memilih untuk mengadakan ceramah kecil-kecilan dalam usaha meyakinkan penyokong mereka sendiri supaya keluar mengundi.
Mana sesi debat?
Dr Mazlan Ali bersetuju dengan Hisomudin di mana parti politik mesti menjelaskan secara terperinci tawaran mereka kepada pengundi.
Beliau bagaimanapun menambah, bagi meningkatkan lebih ramai penonton dan mendapatkan pengundi kali pertama, setiap pemimpin politik perlu berani menghadiri debat awam.
“Kita perlu ada pendekatan baharu jika mahu pengundi turun mengundi. Ceramah, serangan peribadi dan retorik adalah taktik lama. Pemimpin politik harus berdebat antara satu sama lain mengenai dasar dan apa yang mereka boleh tawarkan. Mereka tidak perlu takut untuk berdebat.
“Ini yang pengundi baharu mahu. Mereka mahu membandingkan dan mendengar tawaran pakatan politik. Ketika ini semua calon ‘syok sendiri’ dengan mendakwa mereka boleh menjaga rakyat tetapi tidak menawarkan penyelesaian,” kata pensyarah dari Universiti Teknologi Malaysia itu.
Pada minggu lalu, calon melakukan serangan peribadi, dan menggunakan agama untuk memenangi hati pengundi.
Ketua Pemuda PAS Sit Shahiful Nasir terpaksa memohon maaf kerana mendakwa mereka yang mengundi BN atau PH akan “ke neraka”.
Seorang lagi pemimpin PAS, Razman Zakaria memberi amaran kerajaan PH di bawah Anwar Ibrahim akan mempromosikan LGBT dan perkahwinan sejenis sekiranya gabungan itu memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau juga mendakwa jika orang Melayu mengundi PH, ia bermakna mereka menyerahkan kerajaan kepada DAP. – 14 November, 2022.
Berita penuh di sini.