Agong sokong usaha perkenal undang-undang kekang berita palsu
Iklan
YANG di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V menyokong usaha kerajaan memperkenalkan undang-undang mengekang berita palsu yang dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen kali ini.
Baginda bertitah berita palsu perlu dikekang kerana media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai budaya masyarakat.
“Dalam hal ini beta amat menyokong cadangan untuk menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial,” titahnya ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13.
Baginda turut menggesa agar semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai baik masyarakat.
Kerajaan pada awal bulan ini mengumumkan, penggubalan akta baharu itu akan cuba dimasukkan dalam sidang mesyuarat ini.
Penguatkuasaannya dijangka akan diletakkan di bawah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri.
Pengenalan undang-undang baharu itu menimbulkan kontroversi kerana menurut pemerhati, undang-undang sedia ada sudahpun memadai untuk mengekang penyebaran berita palsu.
Pembangkang pula bimbang undang-undang tersebut akan digunakan untuk menutup kebenaran dan menyekat berita daripada parti pembangkang, lebih-lebih lagi menjelang pilihan raya umum ke-14.
Menurut Perdana Menteri Najib Razak, undang-undang itu diperlukan kerana berita palsu boleh mempengaruhi rakyat untuk membenci kerajaan atau merusuh.
Dalam ucapan baginda hari ini, Sultan Muhammad V turut bertitah bahawa ancaman keselamatan negara tidak patut dijadikan sebagai mainan politik.
“Ancaman ke atas keselamatan dan keamanan negara merupakan sesuatu yang nyata dan muncul dalam pelbagai bentuk.
“Beta menyeru kerajaan terus mempertingkatkan tahap kesediaan terutamanya dalam penguatkuasaan termasuk ruang siber, rondaan di sempadan dan perairan negara serta usaha membanteras aktiviti pemerdagangan orang.”
Perhatian khusus juga perlu diberikan mengenai ancaman penyalahgunaan dadah dalam kalangan golongan muda dan pelajar, titah baginda.
“Beta menggesa semua pihak mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan yang lebih berkesan untuk membanteras ancaman tersebut,” katanya.
Pada masa sama, Sultan Muhammad V dalam titahnya turut mengalu-alukan langkah kerajaan menangani pelbagai inisiatif terutamanya berhubung kos sara hidup.
“Kerajaan beta akan terus menyediakan peruntukan bagi melaksanakan lebih banyak program dan projek berpaksikan rakyat demi kesejahteraan mereka.
Persidangan Parlimen ke-13 bagi penggal keenam merupakan persidangan terakhir sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-14.
Persidangan akan dimulakan dengan usul menjunjung kasih dan perbahasan titah diraja selama dua minggu, sebelum menteri-menteri menjawab perbahasan tersebut pada minggu ketiga.
Ini akan diikuti perbahasan bagi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain pada minggu keempat dan kelima.
Parlimen akan terbubar secara automatik pada 24 Jun dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran itu. – 5 Mac, 2018.