Iklan

Mengundi bukan keutamaan gelandangan, kata dapur jalanan

Noel Achariam2 years ago15th Nov 2022Berita
50032502511 b8d7a58a18 o
Gelandangan tidak ada alasan pulang ke kampung halaman hanya kerana untuk mengundi pada PRU15 ini, kata pengurus dapur jalanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.
Iklan

DAPUR jalanan di Kuala Lumpur percaya golongan gelandangan kebanyakannya tidak akan keluar mengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang kerana mereka sendiri ada masalah masing-masing.

Pengerusi Pertiwi Munirah Abdul Hamid berkata gelandangan tidak ada alasan pulang ke kampung halaman hanya kerana untuk mengundi.

“Ada antara mereka bermasalah dengan ahli keluarga, ada juga tidak mempunyai pengangkutan dan mereka masing-masing ada masalah sendiri.

“Mengundi tidak memberi apa-apa makna untuk mereka. Jadi kenapa mereka perlu balik,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Berdasarkan kepada data Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Mac, terdapat antara 700 hingga 900 gelandangan di sekitar jalanan di ibu kota.

Beliau berkata kebanyakan gelandangan bukan berasal dari Kuala Lumpur kerana mereka datang dari seluruh negara.

“Ada ramai dari Kelantan, Terengganu, Johor dan kawasan lain.

“Mengundi tidak beri faedah kepada mereka. Mereka malah tidak kenal calon.

“Mengundi bukan isu penting atau kritikal dalam hidup mereka.”

Bagaimanapun, Munirah berkata ada antara mereka yang sedar PRU15 sedang berlangsung, tetapi ada gelandangan mengalami masalah mental jadi mereka tidak tahu apa pun yang berlaku.

Berdasarkan kepada data DBKL pada Mac, terdapat antara 700 hingga 900 gelandangan di sekitar jalanan di ibu kota. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2022.

Beliau berkata keluarga miskin bandar mungkin keluar mengundi jika mereka tinggal di kawasan yang sama dengan pusat mengundi.

“Mereka mungkin pergi mengundi jika tinggal di sekitar Segambut atau kawasan lain di Kuala Lumpur, tetapi jika mereka dari luar mereka tidak akan pulang.”

Pengarah Operasi Kechara Soup Kitchen Justin Cheah berkata mereka yang tidak ada rumah buat sementara mungkin akan pergi mengundi, tetapi bagi kumpulan gelandangan tegar mereka tidak mengundi.

“Mereka akan hadapi masalah pengangkutan kerana ramai yang dari luar Kuala Lumpur.

“Walaupun mereka berkumpul di Kuala Lumpur, mereka bukan dari sini.”

Katanya, gelandangan tegar tidak peduli dengan apa berlaku di sekeliling mereka.

“Ini kerana mereka sudah berada di jalanan dalam tempoh terlalu lama, jadi mereka sudah tidak peduli.

“Ada antara mereka tahu PRU akan berlangsung, tetapi mereka tidak berminat.”

Cheah berkata kumpulannya tidak menyediakan sebarang bantuan untuk membawa gelandangan pergi mengundi, tetapi mereka akan membantu untuk mendapatkan maklumat yang tepat jika diperlukan.

“Jika mereka perlu bantuan di mana hendak mengundi, kami akan bantu, begi juga dengan bagaimana untuk ke pusat mengundi.”

Seorang gelandangan yang hanya mahu dikenali sebagai Semban, 43, dari Batu berkata beliau mungkin akan pergi mengundi.

“Saya pernah mengundi sebelum ini, jadi saya bercadang untuk keluar mengundi.

“Tempat mengundi saya tidak jauh dari pusat gelandangan, jadi saya mungkin pergi.”

Seorang lagi gelandangan dikenali sebagai Fai, 41, berkata beliau mungkin pulang ke kampung untuk mengundi.

“Saya dari Pahang dan datang ke Kuala Lumpur untuk mencari kerja. Saya di sini, bagaimana hendak pulang mengundi?

“Balik kampung perlukan wang. Sekarang, siapa ada duit?”

Alwi, 60, berkata beliau masih mempertimbangkan sama ada hendak ke pusat mengundinya di Petaling Jaya, atau tidak.

“Kalau ada pengangkutan, saya mungkin pergi.” – 15 November, 2022.

Iklan
Iklan