Pengundi Bentong bingung nak pilih parti atau calon
Iklan
KERUSI Parlimen Bentong di Pahang dijangka menjadi antara kerusi paling hangat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Parlimen itu akan menyaksikan pertembungan antara penyandang yang digugurkan, ahli Parlimen empat penggal yang kalah pada PRU14 dan seorang wanita Melayu.
Wong Tack menewaskan bekas presiden MCA Liow Tiong Lai, yang merupakan ahli Parlimen selama 14 tahun dari 2004, dalam pilihan raya lalu atas tiket DAP-Pakatan Harapan (PH).
Wong digugurkan oleh PH, memaksa beliau mempertahankan kerusinya sebagai calon bebas.
Sebagai gantinya, PH meletakkan harapan kepada Syefura Othman, 33.
Dua lagi calon dalam pertandingan lima penjuru bagi kerusi itu di mana orang Melayu membentuk 46.5 peratus daripada pengundi, Cina (41.69%) dan India (9.16%) ialah Roslan Hassan dari Perikatan Nasional (PN) dan Achik Khalil (Bebas).
Liow dan Syefura bukan sahaja dianggap sebagai calon yang kuat, malah kemunculan mereka pada PRU kali ini dijangka merunsingkan 87,058 pengundi Bentong.
Peluang Wong untuk mengekalkan kerusinya telah ditolak kerana penganalisis berkata pengundi akan membuangnya kerana prestasi buruknya ketika menjadi wakil rakyat mereka.
The Malaysian Insight mendapati pengundi tua, yang mempunyai kenangan manis tentang Liow, kelihatan gembira melihatnya kembali.
Sentimen itu bagaimanapun, diganggu oleh fakta mereka juga mahu memberikan PH satu lagi peluang membentuk kerajaan, selain mahukan Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Setiausaha Winnie Au, 42, merupakan salah seorang pengundi yang masih belum membuat keputusan mengenai siapa yang akan beliau pilih pada Sabtu ini.
Au berkata beliau suka dengan salah seorang calon tetapi calon itu mewakili “parti yang buruk”.
“Orangnya bagus, partinya tidak bagus.”
Ketika merujuk kepada Syefura, Au berkata beliau masih baru dan tidak pasti prestasinya jika dilantik sebagai ahli parlimen di situ.
Au juga mempertimbangkan mengenai pembelotan yang menumbangkan kerajaan PH selepas memerintah selama 22 bulan.
Beliau berkata jika PH memerintah untuk tempoh yang lebih lama, maka adalah lebih mudah baginya untuk membuat keputusan kerana beliau boleh mengukur kemampuan mereka.
Au berkata buat masa ini ia adalah pertarungan antara Liow dan Syefura.
“Kedua-duanya ada kelebihan, sebab itu saya masih belum buat keputusan.”
Siapa pun yang menang Bentong, Au berharap orang yang terpilih dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada Bentong.
Suri rumah, Lee Kim Fong, 76, turut bingung untuk memilih ahli Parlimen di situ.
Sebab itulah beliau turun ke semua ceramah PH dan BN untuk mendengar mesej mereka, katanya.
“Liow Tiong Lai sebelum ini buat kerja bagus dan dia menyukarkan saya untuk buat keputusan. Memang susah untuk pilih sekarang.
“Saya mungkin tidak ada jawapan sampailah hari pengundian.”
Pekan hantu
Petani buah-buahan Lee Geik Tay, yang berkongsi pemikiran yang sama dengan Au mengenai masa singkat PH berkuasa, berkata walaupun prestasi PH “menjadi lebih teruk” pada hari-hari terakhir mereka berkuasa, tempoh 22 bulan tidak memberi mereka banyak masa untuk buat apa-apa.
Bagaimanapun seorang pesara berusia 67 tahun yang mahu dikenali sebagai “Encik Tan” berkata beliau telah membuat keputusan.
Beliau mahu mengundi Liow.
“Sudah tentu Liow. Beliau pernah tunjukkan apa yang beliau boleh buat untuk Bentong.
“Calon PH baru dan masih tidak diketahui kemampuannya. Saya pilih seseorang yang bekerja dan tidak suruh anda (rakyat) selesaikan masalah itu sendiri,” katanya dalam kritikan jelas terhadap prestasi penyandang Wong.
Seorang lagi pesara, Chong Ngan Lai berkata walaupun Liow telah menunjukkan prestasi yang baik semasa menjadi ahli Parlimen, namun beliau amat kecewa dengan Liow yang didakwanya telah merobohkan Jalan Budaya di bandar itu selepas kalah dalam PRU14.
Liow berkata dakwaan itu tidak berasas kerana kerja-kerja perobohan di jalan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Pengurusan Jalan Budaya dan tiada kena mengena dengannya.
Lelaki berusia 61 tahun itu berkata beliau masih ingat hari-hari ketika Jalan Budaya Bentong – sebuah projek yang dimulakan oleh Liow pada 2015 dan bertujuan menarik lebih ramai pelancong untuk meningkatkan ekonomi tempatan - telah wujud.
Beliau berkata ketika itu hotel selalunya penuh dan Bentong adalah sebuah bandar yang meriah walaupun ketika waktu malam.
“Sekarang, Bentong sangat sunyi pada waktu malam dan hampir tidak ada sesiapa di sana. Hanya pada hujung minggu dan cuti orang ramai datang untuk melawat sehari dan cuma membeli-belah.
“Semoga selepas pilihan raya nanti, Bentong akan menarik lebih ramai orang kembali.”
Isu banjir
Satu lagi isu yang menjadi isu rakyat di kawasan ini ialah banjir besar yang berlaku pada Disember tahun lalu dan Mac tahun ini.
Chong mendakwa parti-parti yang bertanding dalam pilihan raya ini tidak membantu rakyat yang terjejas apabila mereka memerlukan bantuan.
“Sekarang mereka mahu kami undi mereka.”
Chong berkata terdapat insiden di mana juru kempen pilihan raya calon dan parti tertentu telah diburu keluar dari kampung yang dilanda banjir.
“Penduduk kampung bertanya: ‘Di mana kamu waktu banjir terjadi?’”, katanya.
Seorang pengundi kali pertama Angelina Chew berkata Syefura dari PH mungkin mempunyai kelebihan berbanding calon lain yang lebih dikenali dan berpengalaman.
Mahasiswa berusia 21 tahun itu berkata PH mempunyai kelebihan kerana wakil mereka Wong telah berkhidmat di kawasan itu sejak empat tahun lalu.
“Jarang nampak Liow,” katanya.
Pada PRU14, jumlah pemilih berdaftar di Bentong seramai 67,359 orang, tetapi selepas pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran pemilih secara automatik, jumlah itu melonjak sebanyak 19,699 kepada 87,058 pengundi pada PRU15 ini. – 16 November, 2022.