VoteMalaysia UK hantar pulang 6,932 undi pos
Iklan
VOTEMALAYSIA United Kingdom dan Eire mengumpul 6,932 undi pos yang kini dalam perjalanan ke Malaysia untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Gabungan badan pelajar berkata mereka berjaya mengutip semua undi pada 16 November lalu.
Dua wakil dari VoteMalaysia membawa pulang undi itu di dalam penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Heathrow London pada 10:25 UKT (waktu Malaysia 6.30 pagi) semalam.
Ia berkata sebaik tiba di Malaysia undi akan diserahkan kepada UNDI 18 serta Kesatuan Pelajar Undang-undang Malaysia United Kingdom & Ireland.
Undi kemudiannya akan dihantar ke Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di mana ia akan disusun dan diedarkan ke semua kerusi Parlimen dan DUN.
Sejak tiga bulan lalu VoteMalaysia memikul tanggungjawab berat untuk memastikan semua rakyat Malaysia di United Kingdom dan Ireland menyedari sepenuhnya hak demokrasi mereka untuk mengundi dan dapat membuang undi dengan cara yang mudah diakses.
Gabungan itu membuka kaunter untuk membantu individu mendaftar sebagai pengundi pos dan mengadakan bengkel undi pos.
Setakat 48 jam yang lalu mereka membuka 58 tempat pengutipan undi di 51 bandar di seluruh United Kingdom dan Ireland.
VoteMalaysia ditubuhkan bagi membantu penjimatan kos, pengundian yang telus dan mudah diakses serta menunaikan janji mereka untuk membawa pulang undi kami.
Gabungan itu berkata inisiatif itu dibuat oleh pelajar, didorong oleh pelajar dan disampaikan oleh pelajar untuk Malaysia serta rakyatnya. – 17 November, 2022.