Majlis Gereja kecam kenyataan anti-Kristian Muhyiddin
Iklan
MAJLIS Gereja Malaysia (CCM) terkejut dengan kenyataan bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin yang menuduh penganut Kristian bekerjasama dengan sekumpulan Yahudi untuk mempromosikan agama Kristian dan memurtadkan orang ramai.
Setiausaha Agung CCM Jonathan Jesudas berkata kenyataan Muhyiddin tidak benar dan tidak bertanggungjawab, terutamanya daripada seorang ahli politik seperti beliau.
“Kita tinggal di negara berbilang agama dan kaum, dan setiap komuniti mesti diambil kira ketika berucap di forum awam.
“Kenyataan sebegitu, yang dilafazkan secara semberono mempunyai kecenderungan untuk menimbulkan ketegangan dan persengketaan kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam klip video 1 minit 44 saat yang tular di media sosial, Muhyiddin dilihat memberitahu penonton supaya tidak memilih Barisan Nasional dan tidak memangkah Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya esok.
“Ia bahaya. PH bahaya. Sebelum ini, saya terbaca ada video sekumpulan orang Yahudi bercakap tentang Malaysia,” kata pengerusi Perikatan Nasional itu.
“Mereka berdoa supaya Malaysia jatuh ke tangan pembangkang, yang menaja Yahudi dan Kristian.
Bekas perdana menteri itu mendakwa orang Islam pergi gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya, sambil menambah ini “berbahaya”.
“Nampaknya, mereka sudah masuk agama Kristian. Adakah ini proses Kristianisasi?”
Muhyiddin juga berkata beliau tidak fikir ia (Kristian) akan tersebar secepat itu di kalangan umat Islam di sini “tetapi ini adalah agenda mereka”.
“Adalah hasrat mereka untuk mengambil alih Malaysia untuk menjadi tanah jajahan mereka. Ia adalah strategi jangka panjang.
“Mungkin bukan sekarang, tetapi tidak lama lagi jika kita tidak waspada dan berhati-hati. Ia boleh berlaku.”
Tidak jelas bila dan di mana video itu dirakam.
Sementara itu, Jesudas berkata pihak berkuasa mesti menangani isu itu.
“Ia mesti ditangani oleh pihak berkuasa untuk memastikan pengabaian terang-terangan terhadap kebenaran dan sensitiviti pelbagai agama tidak dibenarkan atau berulang.”
Rakyat Malaysia akan mengundi esok. – 18 November, 2022.