Strategi Zahid tidak mengena, kata Ilham Centre

Iklan
ILHAM Centre melihat tindakan pengguguran beberapa penyandang kerusi Parlimen daripada dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) oleh Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi memakan diri.
Malah strategi menurunkan 80 peratus calon muka baharu oleh Ahmad Zahid itu juga mencetuskan tindak balas daripada jentera akar umbi parti, yang sepatutnya berupaya menjadi kelebihan buat mereka pada ketika Parlimen dibubarkan.
Pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata, Umno menyertai PRU15 dalam keadaan berkecamuk dengan urusan dalaman parti, termasuk serangan terhadap presidennya oleh calon parti itu sendiri sepanjang tempoh berkempen.
“Masalah ‘housekeeping’ parti yang berterusan disebabkan ‘backlash’ mereka yang tidak terpilih menjadikan Umno berkecamuk dalam membuat persediaan dalam pilihan raya yang mereka sendiri tentukan.
“Tindakan beberapa pimpinan Umno yang menyerang Zahid menggambarkan bagaimana situasi dalaman Umno yang terpecah serta hilang arah sepanjang tempoh berkempen,” kata Hisomuddin, dalam laporan pola sokongan pengundi dan prediksi PRU15 yang disiarkan petang tadi.
Laporan itu menjangkakan Pakatan Harapan (PH) akan mendahului kutipan kerusi dalam PRU15 esok, iaitu sekitar 86, berbanding 51 dimenangi Barisan Nasional (BN) dan 24 akan dimenangi Perikatan Nasional (PN).
Hisomuddin berkata, Ahamd Zahid gagal menyatukan elit politik dalam Umno, seperti yang dilakukan bekas perdana menteri Najib Razak, selepas beliau dipenjarakan.
“Faktor ketiadaan Najib sebagai ikon kebangkitan BN untuk menyatukan elit-elit parti dan pengaruh ‘Bossku’ yang berupaya menarik sokongan pengundi atas pagar serta pengundi baharu lenyap dalam PRU15.
“Ini sekaligus meletakkan paras moral jentera BN berada di tahap terendah,” katanya.
Parti itu bagaimanapun katanya diselamatkan dengan kelebihan jentera akar umbi dan dukungan pengundi Melayu, khususnya di kawasan majoriti kumpulan pengundi itu.
PH pula katanya dilihat kembali bernyawa dengan kehadiran Timbalan Presiden Rafizi Ramli, selepas beberapa siri pilihan raya kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) menyaksikan mereka berhadapan masalah menyusun jentera komponen.
“Namun begitu, kembalinya Rafizi ke dalam PH bak tonik memulihkan moral dan kepercayaan aktivis yang kecewa dengan PH serta sokongan umum.
“Strategi PH masih bergerak dengan tiga jentera parti utama yang berbeza dan terpisah.
“Ia memberikan kelebihan kerana pengundi dapat membuat perbandingan dan perbezaan berbanding parti saingan yang sukar dibezakan antara calon PAS dan Bersatu dalam PN,” kata laporan Ilham Centre itu.
Modal mengangkat Pengerusi PH Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri juga katanya dilihat berjaya menarik sokongan dan terkehadapan berbanding calon perdana menteri gabungan parti lain.
“Pertama beliau masih belum pernah menjadi perdana menteri, keduanya pandangan umum lebih yakin dengan kemampuan beliau memimpin negara ketika negara dijangka berhadapan dengan kesuraman ekonomi global,” katanya.
Selain itu, meletakkan Anwar bertanding di Parlimen Tambun juga membuatkan ia mampu menjadi kelebihan kepada PH.
“Pesona Anwar di Tambun jelas menukar kerusi selamat PN menjadi kerusi boleh menang PH.
“Naratif Tambun akan menghantar seorang perdana menteri ke Putrajaya mewujudkan keghairahan baharu dalam kalangan pengundi,” kata kajian tersebut.
Pergeseran dalaman BN bagaimanapun katanya membuatkan Ismail Sabri Yaakob ketinggalan sebagai calon perdana menteri, biarpun partinya dikatakan setuju untuk mengangkat beliau.
“Reputasi cemerlang Ismail Sabri sepanjang 14 bulan menjadi perdana menteri dijadikan modal penting buat BN sepanjang berkempen.
“Namun begitu, pergeseran dalaman BN tidak berupaya memposisikan Ismail Sabri sebagai ‘poster boy’ yang meyakinkan dalam PRU kali ini,” katanya.
PN pula katanya secara tiba-tiba menjadi ‘underdog’ memecahkan monopoli persaingan antara BN dan PH.
Gabungan itu katanya mempunyai kekuatan pemasaran politik dan strategi jentera mereka yang agresif melalui kempen-kempen di media sosial dan cetak, serta bersemuka dengan diperkukuhkan dokongan jentera PAS yang tersusun dan kompak.
Mereka juga katanya berterusan memanfaatkan rekod pencapaian Pengerusinya Muhyiddin Yassin sepanjang menerajui negara dalam tempoh krisis pandemik Covid-19 dulu.
“Aura ‘Abah’ dimanfaatkan sepenuhnya dengan mengembalikan nostalgia kepimpinan beliau menabur bantuan ketika rakyat dihimpit masalah Covid-19,” katanya.
Gerakan Tanah Air (GTA) bagaimanapun hanya bergantung dengan pengaruh pengerusinya Dr Mahathir Mohamad, dan jelas gagal untuk memberikan saingan kepada pakatan lain.
Parti itu dilihat dan hanya berlegar di tiga kawasan di Kedah; Langkawi, Jerlun dan Kubang Pasu walaupun bertanding di 121 kerusi Parlimen. – Bernama, 18 November, 2022.