Anak PPR tak mampu makan pisang, apatah lagi kuinoa
Iklan
NUR Hayati, 13, kelihatan lesu ketika pulang dari sekolah. Remaja ini tidak bersarapan mahupun makan tengah hari dan mengaku sudah terbiasa dengan keadaan itu.
Ketika ditemui The Malaysian Insight, beliau sedang berjalan pulang ke blok rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Baru Ayer Panas, Kuala Lumpur.
“Saya tak suka makan pagi. Lepas balik sekolah pun sama (tak makan) tapi mak akan bawa makanan dari tempat kerja macam kari ayam.
“Jadi saya selalu makan lepas dia balik kerja dalam jam 5 lebih (petang). Lepas Isyak makan lagi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Gadis berbadan gempal itu berkata setiap hari ibunya akan memberi duit belanja sekolah sebanyak RM4. Di sekolah, beliau akan membeli nasi putih, telur dan air minum yang berjumlah RM3 dan baki RM1 akan disimpan.
Ibunya bekerja sebagai tukang cuci dan tiada masa untuk menyediakan makan tengah hari untuknya, manakala ayahnya tidak bekerja kerana tidak sihat.
Apabila ditanya mengenai kekerapan beliau mengambil makanan berkhasiat buah-buahan atau sayur-sayuran setiap hari, Nur Hayati menggelengkan kepala.
“Duit seringgit itu saya nak simpan. Bila Mak balik kerja, dia akan bawak nasi campur, lauk kari ayam dan sayur. Kalau buah tak ada,” katanya.
Bagi keluarganya, sesisir pisang yang berharga kurang dari RM10 tetap dianggap mahal jika dibeli secara berterusan.
Apatah lagi makanan berkhasiat lain seperti kuinoa. Itu sama sekali tidak terlintas di fikiran mereka. Keadaan yang dihadapinya ini hampir sama dengan situasi kanak-kanak miskin bandar lain di ibu kota.
Anak terpaksa beli makanan di luar
Kanak-kanak ini terpaksa mengambil makanan yang tidak dimasak di rumah kerana ibu bapa mereka bekerja di lokasi yang jauh dan menghabiskan masa lebih panjang untuk bekerja.
Laporan bertajuk “Kemiskinan Kanak-kanak Bandar: Adakah saiz penting?” itu menyelidik “kemiskinan kesihatan” di kalangan kanak-kanak berusia 5 hingga 17 tahun.
Ia meliputi kanak-kanak dalam kumpulan isi rumah kumpulan yang terdedah kepada krisis ketidaktentuan ekonomi, berpendapatan rendah, dan lazimnya terbabit dalam sektor pengeluaran dan berkemahiran rendah (UVG).
Kawasan bandar ini didapati mempunyai lebih ramai kanak-kanak yang mengalami berat badan berlebihan dan obes iaitu 19.1% berbanding di luar bandar yang mencatatkan 16.5% hingga 17.5%.
Perkara itu dikaitkan dengan peningkatan trend membeli makanan di luar dan menjadi komponen utama pemakanan di kebanyakan negara yang mengalami proses urbanisasi pantas.
Air manis jadi kegemaran
Menurut seorang peniaga air minuman di kawasan pangsapuri PPR tersebut, Jamaliah Ahmad, 61, golongan kanak-kanak paling ramai membeli air minuman di gerainya selepas waktu sekolah.
Katanya, harga murah yang ditawarkan oleh gerainya berbanding gerai lain membuatkan mereka tertarik untuk membelinya.
“Budak-budak ini suka minum air manis. Kalau minum air soya, mereka suka tambah gula merah supaya lebih manis.
“Di sini, saya tidak sampai hati untuk jual mahal sebab mereka duduk PPR saja. Kalau di depan sekolah, harga biasa mungkin dalam RM1.50, tapi di sini RM1 saja,” katanya.
Di sekitar kawasan tersebut terdapat juga peniaga nasi campur, minuman berkarbonat dan snek seperti keropok lekor dan pisang goreng. Gerai berkenaan dipenuhi oleh pelajar sekolah yang mendapatkan makanan tengah hari.
Mengulas perkara itu, Jamaliah berkata ia pemandangan biasa di situ kerana kebanyakan ibu bapa kanak-kanak tersebut bekerja dan tiada masa untuk memasak.
The Malaysian Insight menemui seorang pelajar sekolah yang mahu dikenali dengan nama Adi yang membeli makanan di situ.
Pelajar tingkatan dua yang berbadan gempal itu kelihatan tidak selesa apabila disoal mengenai corak pemakanannya.
Katanya, beliau tetap singgah ke gerai nasi campur di situ setiap kali pulang dari sekolah kerana masakan di situ sedap baginya.
“Mak saya kadang-kadang masak juga sayur. Tapi saya beli juga kat sini. Makan sedap kat sini. Tapi saya tak ambil banyak pun makanan,” katanya.
Nasi lemak, burger setiap hari
Seorang remaja wanita dengan berat badan 90kg memberitahu The Malaysian Insight, beliau gemar makan burger atau nasi lemak setiap hari.
Eda, 16, berkata beliau tidak mengambil sarapan pagi kerana tidak biasa tapi akan makan semasa waktu rehat di sekolah.
“Masa rehat saya lagi suka makan nasi lemak ayam, kadang-kadang nasi lemak telur. Tapi bagi saya makanan di kantin pun mahal juga. Kalau nasi lemak dengan telur RM1.80.
“Saya makan di sekolah. Selalu tak sarapan sebab nanti sakit perut. Mak pun tak paksa,” kata anak bongsu dari lapan adik-beradik itu.
Beliau hanya akan makan tengah hari apabila ibunya, seorang tukang cuci, ada masa untuk masak. Bapanya seorang pengawal keselamatan dan mereka tinggal di PPR Lembah Subang 1.
Menurut Jabatan Perangkaan, semakin ramai rakyat Malaysia membeli makanan di luar, dengan peningkatan 3.3% pada Oktober 2016.
Makanan sebegini lazimnya dikaitkan dengan kandungan tenaga dan lemak yang tinggi serta kurang berkhasiat, seterusnya meningkatkan lagi bilangan penghidap obesiti.
Kaji selidik Unicef dan DM Analytics mendapati masalah berat badan berlebihan dan obes paling berleluasa di kalangan kanak-kanak Cina, iaitu 17.3% diikuti Melayu (17.2%), India (16%) dan Bumiputera lain (16%).
Cukai makanan bergula
Kanak-kanak Cina mencatat peratusan obes tertinggi sebanyak 19% manakala kanak-kanak India 18%, Melayu 17% dan Bumiputera lain, 16%.
Kajian berkenaan juga mendapati berat badan di kalangan kanak-kanak negara ini tinggi berbanding negara lain yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita sama dengan Malaysia,
Hampir 13% kanak-kanak di negara ini berusia 5 hingga 19 tahun adalah obes dan peratusan ini lebih tinggi daripada Hungary (11%), Turki (10%) dan Poland (9%).
Pengarah Urusan dan Ketua Ekonomi DM Analytics Dr Muhammad Abdul Khalid berkata, kemiskinan kanak-kanak sering diabaikan di bandar metropolitan dan lebih-lebih lagi ke atas penghuni flat kos rendah.
Beliau berkata perkara itu perlu diatasi dengan polisi tertentu sekiranya Malaysia tidak mahu anak-anak ini menjadi generasi dewasa yang miskin menjelang 2050.
Salah satu daripada lima cadangan dasar yang dikemukakan dalam laporan tersebut merupakan cukai ke atas minuman bergula (SSB).
Menurut Dr Muhammad, percukaian ke atas minuman bergula mungkin boleh membawa kepada pengurangan pengambilan produk minuman bergula.
“Cadangan mengenai cukai itu penting. Saya beri contoh, minuman berkarbonat dan gula tidak sihat tapi murah dan mudah untuk didapati.
“Kita perlu buat ia mahal dan cukai itu dikenakan kepada pelanggan.
“Banyak tempat melaksanakannya seperti di California dan Mexico, malah ia menunjukkan kadar pengambilan gula semakin berkurangan,” kata Muhammed.
Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) mencadangkan pengambilan gula dikurangkan kepada bawah 10% daripada keseluruhan pengambilan tenaga harian. – 6 Mac, 2018.