Calon Bebas tiada cara menang PRU15, kata pemerhati politik
Iklan
SERAMAI 106 calon Bebas tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana mereka tidak mempunyai jentera, tidak dikenali pengundi dan bertanding menentang gabungan terkenal, kata pemerhati politik.
Mereka juga berkata, calon Bebas bertanding kerana ada di antara mereka mahu “mencuba nasib”, mempromosikan kepentingan mereka atau kecewa dengan parti semasa. Ada juga bekas ahli politik yang mahu membuat kemunculan semula.
Pada PRU15, hanya dua calon Bebas dari Sabah menang daripada 108 pencabar.
Riduan Rubin antara calon Bebas yang memenangi kerusi Parlimen Tenom di Sabah dengan majoriti 1,108 undi selepas memperoleh 10,027 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Verdon Bahanda pula memenangi kerusi Kudat dengan 16,323 undi, dengan majoriti 1,967 dalam pertandingan lima penjuru.
Ia satu jumlah tertinggi menyaksikan calon Bebas bertanding dalam PRU. Pada PRU14 hanya 24 calon Bebas bertanding dan tiga daripadanya memenangi kerusi masing-masing.
Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, calon Bebas kalah kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk mendekati pengundi.
Ini katanya, kerana mereka menentang gabungan utama dan tidak dapat merayu kepada pengundi kerana jentera pilihan raya yang lemah.
“Pengundi juga tidak tahu apa yang diperjuangkan oleh calon Bebas ini dan sama ada mereka benar-benar boleh memberikan khidmat terbaik kepada komuniti dalam kawasan pilihan raya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bagi calon Sabah yang menang, Tunku Mohar berkata tidak seperti di Semenanjung yang partinya besar dan mengawal jentera, di beberapa bahagian di Sabah, personaliti masih menjadi faktor.
“Ini juga disebabkan jentera parti yang berpecah-belah di kawasan tertentu,” katanya.
Pemerhati politik Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata, ramai calon Bebas memutuskan untuk bertanding berikutan peningkatan celik politik selepas krisis politik (pertukaran kerajaan) dan pandemik Covid-19 lebih dua tahun lalu.
Beliau juga berkata, calon Bebas bertanding pada PRU15 kerana tidak yakin dengan parti politik yang terlalu fokus kepada politik berbanding menyelesaikan isu.
“Kekalahan mereka disebabkan majoriti pengundi akan memilih parti dahulu, tetapi faktor calon juga relevan bergantung kepada kawasan seperti bandar, separa dan luar bandar.
“Di Semenanjung, memilih calon Bebas bukanlah satu budaya, terutama di kawasan bandar seperti Batu walaupun mempunyai personaliti seperti peguam Siti Kassim atau Tian Chua (bekas naib presiden PKR).”
Bagi pemenang Sabah, beliau berkata calon Bebas menang dan boleh mengalahkan parti yang lebih besar kerana antara ciri terpenting politik Sabah adalah faktor etnik.
“Di Sabah, seorang calon Bebas yang dikenali dan mewakili satu kumpulan atau kaum berpeluang menang. Keadaan ini tidak sama di Semenanjung.” – 21 November, 2022.
Berita penuh di sini.