Graduan jadi ejen insurans, unit amanah kerana tiada kerja
Iklan
PELUANG kerja mengikut bidang pengajian yang semakin terhad pada masa ini mendorong ramai anak muda mencari pekerjaan dalam bidang alternatif.
Salah satu bidang pilihan yang menjanjikan pulangan lumayan dan menarik mereka keluar daripada pengangguran adalah insurans dan unit amanah.
Seorang daripadanya, Mohd Adam Senawi yang meninggalkan pekerjaannya sebagai jurutera dalam industri minyak dan gas apabila melihat industri itu tidak lagi stabil.
Beliau tekad berhenti kerja pada 2014 apabila menyedari beliau akan dibuang kerja dan mencuba nasib sebagai ejen unit amanah dan insurans.
“Pada masa itu memang bergelut juga dalam masa sebulan lebih kerana saya sudah berkahwin dan ada anak.
“Sebelum ini saya makan gaji, kita tahu kita akan dapat gaji tetapi (pekerjaan sebagai wakil insurans) berdasarkan komisen semata-mata,” katanya The Malaysian Insight.
Graduan dalam jurusan kejuruteraan elektronik industri itu bersyukur kerana isterinya turut bekerja dan menampung perbelanjaan rumah sedikit sebanyak.
Bapa berusia 32 tahun itu berkata, taraf hidup keluarganya kembali normal selepas tiga bulan apabila beliau menambah kemahiran sebagai wakil insurans.
“Mungkin tempoh saya bergelut itu tak lama macam orang lain sebab sebelum ini saya memang buat kerja sampingan jual unit amanah,” kata Adam.
Beliau tetap merindui pekerjaan sebagai jurutera dalam bidang minyak dan gas yang memberi lebih kepuasan kepadanya, namun tiada syarikat dapat memberinya peluang kerja.
“Sebelum saya ambil keputusan untuk bekerja sepenuh masa jadi ejen (insurans), saya ada juga memohon kerja di syarikat (minyak dan gas) lain tapi tak ada yang respons,” katanya.
Hampir setengah tahun menganggur
Beliau merupakan salah seorang daripada kira-kira 5,000 orang wakil insurans muda, berusia antara 21 hingga 31 tahun yang berdaftar dengan Persatuan Insurans Am Malaysia (Piam) pada 2014.
Data Piam menunjukkan, jumlah ejen yang berdaftar dengan persatuan tersebut pada tahun berikutnya adalah 5,125 orang dan 4,819 orang pada 2016.
Jumlah ejen yang lebih muda pula semakin meningkat, menurut Piam. Seramai 176 orang ejen berusia bawah 21 tahun didaftarkan pada 2014, seterusnya meningkat kepada 219 pada tahun seterusnya dan 221 agen pada 2016.
Sementara itu, wakil insurans Mohamed Hafizulah Zainal Abidin, 27, pula berkata, beliau terpaksa memilih untuk menceburi bidang insurans selepas hampir setengah tahun tidak mempunyai pekerjaan tetap.
“Saya memang dulu belajar di sekolah teknik dan memang hendak sambung belajar dalam bidang sama, diploma elektrik dan elektronik sebab mahu tambah ilmu dan kemahiran yang saya ada, lepas itu hendak kerja dalam bidang berkaitan lepas habis belajar.
“Saya hantar resume ke Jobstreet (agensi pekerjaan swasta), tanya (peluang kerja) melalui kawan selama enam bulan, tapi sampai ke sudah tidak ada yang panggil untuk temuduga,” katanya yang menjadi ejen insurans takaful Zurich sepenuh masa sejak 2012.
Antara cabaran utamanya dalam bidang tersebut adalah untuk mempromosi produk kepada individu dikenali, terutama rakan-rakannya.
“Bila ajak minum mereka tolak, padahal kita tidak pun paksa ambil (insurans) dengan kita,” katanya.
“Untuk mendekati orang yang kita kenal lagi susah berbanding orang tidak dikenali. Orang yang tak kenal tidak tahu sama ada saya ejen baharu atau lama. Mereka ambil kerana produk itu bagus,” katanya.
Hafizullah bergelut untuk meneruskan hidup apabila memperolehi komisen pertama yang berjumlah hanya RM62. Setahun selepas itu, barulah semuanya menampakkan hasil, katanya.
Pendapatan lebih lumayan berbanding gaji profesional
Adam dan Hafizulah kini bersyukur kerana mampu menjana pendapatan lebih tinggi berbanding gaji rakan-rakan sepengajiannya.
Hafiz menjangka, sekiranya beliau bekerja makan gaji sebagai seorang juruteknik dengan kelulusannya waktu itu, gaji maksimum yang beliau mampu perolehi adalah sekitar RM4,500.
“Tapi sekarang pendapatan saya lagi tinggi daripada kerja dalam kelulusan yang saya ada. Dengan pendapatan setiap bulan inilah saya berkahwin, ada anak dan beri nafkah keluarga,” katanya.
Adam berkata, selepas berhenti kerja bapanya sangat bimbang dengan keadaan kewangan anaknya sehingga menghubunginya setiap hari untuk bertanyakan jualan insuransnya.
“Dulu arwah ayah akan tanya boleh bertahan ke? Perlukan bantuan ke? Memang susah sikit. Tiap-tiap hari kena tolak oleh pelanggan.
“Tapi sekarang masa saya fleksibel – ada masa untuk keluarga berbanding dulu dan saya boleh dapat pendapatan sama banyak dengan gaji dulu atau lebih,” katanya.
Sungguhpun begitu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menganggap, perubahan hala kerjaya oleh graduan yang memilih untuk menjadi ejen insurans ini tetap menjadi satu kerugian.
Pengarah eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, bukan sahaja graduan ini tidak dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperolehi di universiti, malah terpaksa menjalani latihan kerjaya baharu di luar bidang.
Ini menunjukkan, pelaburan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau oleh ibu bapa masing-masing tidak mendatangkan hasil seperti yang dijangkakan.
Sesuaikan diri dengan tuntutan pasaran
Namun, walau perkembangan ini dilihat sebagai perkara yang tidak wajar, graduan ini perlu melakukan apa kerja sekalipun demi menyara komitmen hidup.
“Sebenarnya kalau kita lihat normal atau tidak, ia bukanlah satu yang normal. Tapi pada masa sekarang ini pasaran tenaga kerja agak mencabar dan pekerjaan yang sesuai itu sukar untuk didapatkan pada masa ini walaupun dalam bidang kejuruteraan.
“Keadaan agak mencabar, walaupun untuk majikan sendiri dan mereka pun tak tahu sama ada mereka boleh bertahan lama atau tidak,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau sebelum ini menjangkakan, hampir 50,000 pekerja akan hilang mata pencarian tahun ini dan menasihati graduan lepasan kolej dan universiti yang akan memasuki pasaran kerja untuk menyesuaikan diri dengan tuntutan semasa.
“Jadi dalam keadaan demikian saya rasakan, apa jua yang dibuat oleh graduan ini adalah untuk menimba sedikit pengalaman kerja walaupun bidang yang mereka ceburi itu tidak berkaitan dengan apa yang mereka belajar di universiti,” katanya.
Bagaimanapun, Shamsuddin tetap memberi amaran yang negara akan rugi sekiranya graduan daripada bidang profesional ini tidak menyumbang kepada negara.
“Mungkin kita akan terpaksa mengambil tenaga luar untuk mengisi keperluan tenaga ini. Ini tidak akan menjadi baik kepada negara kita sendiri.
“Ia mungkin akan menjejaskan bekalan tenaga kerja dalam bidang berkenaan kerana mungkin pelajar baru ini akan tidak mahu menceburi bidang berkenaan kerana kurang permintaan,”
Oleh itu, perancangan perlu dibuat agar graduan dalam bidang khusus ini dapat diserapkan ke dalam bidang kerja, katanya. – 7 Mac, 2018.