Azeez beri Guan Eng 4 hari kemuka permohonan maaf terbuka
Iklan
ABDUL Azeez Abdul Rahim menuntut permohonan maaf dari Lim Gua Eng atas kenyataan fitnah terhadapnya berhubung projek terowong dasar laut Pulau Pinang.
Ahli Parlimen Baling itu berkata telah memberi ketua menteri Pulau Pinang itu kata dua, atau berdepan tindakan mahkamah.
“Saya nak dia tarik semula semua kenyataan fitnah terhadap saya, Umno dan Tabung Haji.
“Saya beri dia empat hari untuk keluarkan permohonan maaf secara terbuka dan berhenti ulang semua kenyataan fitnah tersebut,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Azeez, yang menuntut permohonan maaf itu dibuat di media arus perdana berkata peguamnya telahpun menghantar surat permintaan ke pejabat Lim pada jam 3.30 petang tadi dan sepucuk lagi surat ke kediaman pemimpin DAP itu di Pulau Pinang pada jam 4.30 petang.
Azeez dituduh menerima habuan RM3 juta sebagai bayaran perundingan dari kontraktor projek itu.
Pengerusi Tabung Haji itu juga berkata kenyatan Lim itu disiarkan di TV3 semalam dan Lim telah meminta SPRM menyiasat Azeez berhubung dakwaan tersebut.
“Jangan babitkan Tabung Haji yang ada sembilan juta pendeposit, dan Umno yang ada tiga juta ahli ke dalam isu ini.
“Mereka semua nak tahu kenapa saya difitnah dan kenapa Tabung Haji serta Umno dikaitkan. Sejak malam semalam hingga pagi tadi saya terima 800 panggilan (selepas siaran laporan TV3 mengenai Guan Eng),” katanya.
Sebelum ini, Azeez mendakwa beliau menjadi mangsa “guna nama”, situasi yang menyebabkan namanya tercemar teruk menjelang pilihan raya umum akan datang.
Azeez juga menunjukkan surat diterima peguamnya, Messrs Jahaberdeen and Co pada 3 Mac daripada firma guaman Zenith, Syahrul & Hamidi.
Katanya, firma guaman mewakili pemaju itu sudah memohon maaf kerana kesilapan itu, mengakui yang ahli perniagaan itu menggunakan nama Azeez menyebabkan pemaju percaya yang ahli perniagan itu mewakili Azeez untuk berurusan dengan mereka.
Kerana itu, peguam pemaju memaklumkan Azeez yang mereka sudah menarik balik dan membatalkan notis tuntutan terhadapnya.
Peguam Zenith itu juga mengatakan mereka tidak berniat memfitnahnya atau mempunyai niat jahat terhadapnya.
Consortium Zenith menang tender terbuka untuk membina terowong dasar laut dan lebuh raya di Pulau Pinang pada 2013. Projek itu kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Agensi itu kembali menyiasat projek itu pada 2016. – 6 Mac, 2018.