Ahli Parlimen DAP minta pemimpin Umno mohon maaf pada Robert Kuok
Iklan
AHLI Parlimen Kulai Teo Nie Ching berkata pemimpin-pemimpin Umno mesti bertanggungjawab atas tindakan mereka yang bergantung kepada artikel mengelirukan mengenai Robert Kuok terbitan penulis blog, Raja Petra Kamaruddin.
Teo berkata Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Mohamed Nazri Aziz dan Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tajuddin Abdul Rahman perlu memohon maaf kerana bersikap seperti ‘gangster”.
Tegas beliau, arahan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia supaya blog Malaysia Today memadam artikel-artikel tersebut mengesahkan yang ianya palsu.
“Mereka berdua perlu memohon maaf pada Kuok kerana perkataan yang digunakan terhadapnya adalah kasar dan tidak wajar.
“Malah, walaupun pejabat Robert Kuok mengeluarkan kenyataan menafikan semua dakwaan yang beliau membiaya DAP untuk mengguling kerajaan BN, Nazri langsung tidak menyesal atas tindakannya.
“Mereka mesti bertanggungjawab terhadap lagak gangster mereka,” kata Teo pada sidang akhbar di Parlimen hari ini.
Semalam, SKMM mengarahkan blog Malaysia Today untuk memadam tiga artikel tersebut yang didapati melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.
Artikel bertajuk “Robert Kuok wants Chinese rule in Malaysia”, “Malaysian Insight funder fingered” dan “Robert Kuok’s last chance at changing the government”, yang diterbitkan pada 21 dan 13 Februari lalu diarahkan dipadan berkuatkuasa hari ini.
Menurut SKMM, ini berikutan suruhanjaya itu menerima beberapa aduan mengenai artikel-artikel tersebut.
Seksyen 233 melibatkan kesalahan jenayah menggunakan internet untuk komunikasi “yang lucah, sumbang, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati, menganiayai, mengugut atau mengganggu orang lain.”
Kata Teo, selain daripada meminta Raja Petra memadam artikel-artikel berkenaan, SKKM juga perlu mendakwa blogger itu di bawah seksyen yang sama.
“Jadi, adakah SKMM akan minta Raja Petra padam semua artikel untuk menunjukkan yang SKMM sebuah badan bebas, profesional dan cekap?” soal Teo.
Artikel tersebut mendakwa Kuok membiaya DAP untuk mengguling kerajaan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14.
Kuok dan DAP kemudiannya menafikan dakwaan Raja Petra, hingga mencetuskan rantaian serangan dari beberapa pemimpin Umno termasuk Setiausaha Agungnya, Tengku Adnan Tengku Mansor dan Ahli Majlis Tertinggi, Mohamed Nazri Aziz.
Nazri yang menggelar Kuok “pondan” telah mencetuskan perbalahan antara beliau dan MCA. – 6 Mac, 2018.