Iklan

Jawatan menteri bukan lagi ganjaran politik, kata Anwar

Noel Achariam2 years ago27th Nov 2022Berita
Iklan

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim tidak mahu meneruskan amalan kerajaan terdahulu yang melantik menteri sebagai ganjaran politik, sekaligus bertekad mahu mengurangkan saiz Kabinetnya.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata jawatan menteri tidak boleh dilihat sebagai ganjaran sokongan politik.

“Saya mahu mereka sokong saya berdasarkan polisi dan komitmen saya terhadap tadbir urus yang baik.

“(Dasar) Anti rasuah saya akan memacu dan memulihkan ekonomi,” katanya di Putrajaya hari ini selepas mempengerusikan mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022.

Mesyuarat hari ini itu dihadiri pegawai daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang semakin membebankan rakyat.

Antara pegawai kanan yang hadir termasuklah Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Nor Shamsiah Mohd Yunus, pegawai Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Anwar, bagaimanapun, menambah yang sesetengah jawatan boleh dipertimbangkan jika ia satu keperluan.

“Keputusan saya adalah untuk mengurangkan saiz Kabinet. Anda ada 70 menteri, utusan khas dan penasihat.

“Tetapi saya juga bersetuju yang negara perlu berfungsi kerana PM sudah dilantik.

“Keseluruhan pasukan (Kabinet) perlu dipilih, supaya kita boleh mula bekerja.”

Awal pagi tadi, Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Kabinet Anwar perlu menetapkan standard tinggi dan tidak melibatkan wakil rakyat yang terkait dengan kes sedang dibicarakan di mahkamah.

Menurutnya, ia penting bagi mengelak timbulnya pertikaian integriti memandangkan kes mereka sedang dalam perbicaraan.

“Yang terbaik dan paling ideal, saya fikir tidak letakkan mereka (yang ada kes mahkamah) dalam Kabinet supaya tidak timbul isu kelak selain rakyat sangat tekankan selepas Pilihan Raya Umum ke1- (PRU14_ pada 2018 lalu hingga kini adalah soal rasuah,” katanya dipetik akhbar Sinar Harian.

Antara wakil rakyat yang sedang dibicarakan termasuklah Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Penganalisis juga berkata sudah tiba masanya Anwar melunaskan janji reformasinya, terutama pembentukan Kabinet lebih kecil tetapi cekap dalam memenuhi keperluan negara.

Tambah mereka, Anwar juga perlu menghapuskan jawatan bertaraf menteri yang tidak perlu seperti utusan khas dan penasihat.

Anwar yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri ke-10 Malaysia pada Khamis lalu sebelum ini berkata yang Kabinetnya akan lebih kecil.

Tambahnya, gaji menteri juga akan dikurangkan.

Ahli Parlimen Tambun itu berkata cadangan mengurangkan gaji menteri dan saiz Kabinet sedang dibincangkan, dengan barisan ahli akan diumumkan tidak lama lagi.

“Saiz Kabinet sudah pasti akan lebih kecil dan saya meminta menteri baharu untuk bersetuju dengan cadangan mengurangkan gaji mereka,” katanya.

“Semua ini masih dalam proses perbincangan dan persediaan.”

Ketika pentadbiran Muhyiddin Yassin, terdapat 32 orang menteri dan 38 timbalan menteri, manakala pentadbiran Ismail Sabri Yaakob pula mempunyai 31 menteri dan 38 timbalan menteri.

Jumlah itu bagi memastikan mereka terus mendapat sokongan wakil rakyat. – 27 November, 2022.

Iklan
Iklan