Iklan

Kaji larangan hiburan pada malam Jumaat, kata pengusaha hotel di Langkawi

Noel Achariam2 years ago28th Nov 2022Berita
49937076521 055e2cddd5 c
Pusat hiburan hanya dibenarkan beroperasi dari 7 malam hingga 1 pagi pada hari bekerja dan sehingga 2 pagi pada hari Sabtu. Pusat berkenaan juga tidak dibenarkan beroperasi pada malam Jumaat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 November, 2022.
Iklan

PERSATUAN Pengusaha Hotel Malaysia (MAH) Bahagian Kedah dan Perlis mahu kerajaan negeri mengkaji semula larangan waktu operasi pusat hiburan pada Khamis hingga Jumaat, satu langkah yang dikatakan akan membantu dalam memulihkan industri pelancongan.

Pengerusi MAH Kedah dan Perlis Eugene Dass berharap pihak berkuasa dapat menyemak semula larangan itu kerana industri perhotelan perlu pulih dan pelancongan perlu meningkat selepas dilanda pandemik Covid-19.

“Kami berharap pihak berkuasa tempatan akan menyemak semula peraturan ini.

“Perkara terakhir yang kami perlukan ialah klausa ini menghalang kami. Kami tidak nampak keperluan untuk menyekat aktiviti hiburan,” katanya.

Kerajaan Kedah pada 30 Oktober lalu mengingatkan pengusaha yang mempunyai lesen hiburan tidak dibenarkan beroperasi pada waktu yang ditetapkan.

Merujuk kepada surat yang diterima, pengusaha diingatkan supaya tidak membuka pusat hiburan dari 6 petang pada Khamis hingga 2.30 petang pada Jumaat, kecuali jika mendapat kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa negeri.

Pusat hiburan hanya dibenarkan beroperasi dari 7 malam hingga 1 pagi pada hari bekerja dan sehingga 2 pagi pada hari Sabtu.

Sekiranya pengusaha gagal mematuhi garis panduan ditetapkan, pihak berkuasa berhak membatalkan lesen hiburan mereka.

Dass berkata pelancongan di Langkawi memerlukan persekitaran yang lebih mesra perniagaan dan bukannya menyekat.

“Pasaran antarabangsa tidak kerap masuk. Malah feri juga menghadapi masalah,” katanya.

Larangan itu turut melibatkan hiburan secara langsung.

Katanya, larangan itu dilaksanakan ketika kerajaan Barisan Nasional mentadbir Kedah pada 1997 bagi menghormati malam Jumaat.

Beliau juga berkata industri perhotelan berdepan cabaran kerana kadar tempahan bilik tidak begitu menggalakkan seperti sebelum ini.

“Industri perhotelan di Langkawi sedang bergelut. Ia tidak seperti dulu.

“Ketika ini, kadar tempahan bilik adalah antara 50% hingga 55% di Pantai Cenang dan di bandar Kuah kira-kira 30% hingga 40%. Kami pernah merekodkan tempahan sehingga 80%.”

Beliau berkata persatuan itu merancang untuk mengadakan kunjungan hormat kepada ahli Parlimen Langkawi yang baharu dipilih Mohd Suhaimi Abdullah minggu depan bagi mendapatkan bantuan daripada ahli Parlimen Perikatan Nasional itu.

“Kami berharap dapat membincangkan isu ini dan perkara lain yang berkaitan dengan pelancongan di Langkawi.”

Persatuan itu mempunyai 52 ahli membabitkan 37 hotel di pulau itu dan selebihnya di tanah besar. – 28 November, 2022.

Iklan
Iklan