Iklan

Henti sebar komen perkauman, agama, kata Majlis Raja-Raja

Alfian Z.M. Tahir2 years ago30th Nov 2022Berita
Palace 3 tmi hasnoor 160621  full
Majlis Raja-Raja Ke-260 diadakan selama dua hari berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) di Istana Negara hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 November, 2022.
Iklan

MAJLIS Raja-Raja hari ini menggesa pemimpin politik supaya tidak membuat komen perkauman atau agama yang boleh memudaratkan negara.

Dalam satu kenyataan majlis itu juga menggesa kerajaan baharu supaya mengamalkan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Saya harap tidak ada lagi pemimpin yang membangkitkan isu perkauman atau agama dengan tujuan menghasut.

“Saya menggesa kerajaan baharu merebut peluang ini untuk melonjakkan negara ke tahap yang lebih tinggi,” titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dalam satu kenyataan.

Tuanku Muhriz mempengerusikan Majlis Raja-Raja ke-260 di Istana Negara hari ini.

Majlis Raja-Raja diadakan selama dua hari berikutan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beberapa hari selepas PRU15 sebilangan pemimpin politik dituduh mencetuskan sentimen perkauman dan agama.

Ahli parlimen PAS Baling Hassan Saad adalah yang terbaru disiasat oleh polis kerana menuduh Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai ejen Israel.

Sebelum itu Presiden PAS Abdul Hadi Awang menuduh DAP mencetuskan Islamofobia dalam kalangan rakyat Malaysia sebelum menuduh parti itu sebagai “tidak beriman dan tidak bermoral”.

Beberapa laporan polis dibuat terhadap Hadi dan Hassan.

Sebelum pilihan raya umum PAS juga menuduh parti lain sebagai tidak bermoral dengan mengatakan adalah “haram” bagi seorang Muslim untuk mengundi parti lain kerana mereka boleh masuk neraka.

Sementara itu Tuanku Muhriz mengingatkan perdana menteri dan menteri besar negeri bahawa mereka memikul tanggungjawab yang besar dalam menjalankan tugas yang mesti diselaraskan dengan prinsip Rukun Negara.

Beliau mencadangkan agar Rukun Negara dibacakan dari semasa ke semasa pada majlis yang sesuai.

“Bacaan Rukun Negara mesti dipimpin oleh pemimpin yang dipilih dan bukan hanya dalam kalangan belia.

“Ini akan membuktikan kerajaan serius mahukan Rukun Negara sebagai prinsip panduan kepada rakyat Malaysia,” katanya. – 30 November, 2022.

Iklan
Iklan