Iklan

Perikatan pecah tembok BN di kerusi Felda

Mohd Farhan Darwis2 years ago1st Dec 2022Berita
Pn bangi 251022 tmiseth 01
Sebanyak 35% daripada 73 kerusi dimenangi Perikatan Nasional pada PRU15 adalah kawasan Felda, menurut data yang disusun Pertubuhan Suara Generasi Kedua Felda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2022.
Iklan

PERIKATAN Nasional (PN) sudah memecahkan tembok Barisan Nasional (BN) di kawasan Felda apabila menguasai paling banyak kerusi Parlimen di kawasan itu pada pilihan raya umum yang lalu.

Keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menunjukkan satu daripada tiga kerusi Parlimen yang dimenangi oleh PN mempunyai kawasan Felda, atau kira-kira 35% daripada keseluruhan 73 kerusi yang dimenangi gabungan itu.

Gabungan itu menang di 26 daripada 54 kerusi di kawasan Parlimen Felda, berbanding tujuh kerusi yang dimenangi PAS pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

PAS menang di 16 kerusi manakala baki 10 lagi dimenangi Bersatu.

Data PRU15 yang disusun Pertubuhan Suara Generasi kedua Felda (PSGF) menunjukkan BN konsisten hilang kerusi Parlimen Felda sejak tiga pilihan raya umum yang lepas. Pada PRU13 parti itu menang di 48 daripada keseluruhan 54 kerusi Parlimen Felda.

BN yang menang 30 kerusi Parlimen pada PRU15, hilang 12 kerusi Parlimen Felda apabila hanya mampu menang di 16 kawasan Parlimen sahaja kali ini.

BN hilang kerusi Felda paling banyak di Pahang apabila kawasan yang sebelum ini dikatakan kubu mereka seperti Jerantut, Maran, Kuala Krau, dan Rompin, jatuh kepada PN pada PRU15.

Gabungan itu juga hilang dua kerusi Parlimen Felda masing-masing di Kedah (Padang Terap, Baling) dan Terengganu (Besut, Hulu Terengganu).

Di Kelantan, BN hilang kerusi Gua Musang yang menyaksikan PN menang tipis di kerusi yang diwakili 11 penggal oleh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah.

BN turut hilang satu kerusi Felda masing-masing di Perak (Gerik), Melaka (Jasin), dan Johor (Mersing).

Parti itu bagaimanapun berjaya merampas Tampin dan Simpang Renggam daripada Pakatan Harapan (PH).

Felda bukan lagi kubu BN, kata Pertubuhan Suara Generasi kedua Felda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2022.

BN juga mengekalkan penguasaan di Lenggong (di Perak), Cameron Highland, Lipis, Paya Besar, Pekan, dan Bera (di Pahang); Jelebu, Jempol, dan Kuala Pilah (di Negeri Sembilan); serta Sembrong, Tenggara, Kota Tinggi, dan Pengerang (di Johor).

Penolong Setiausaha PSGF Ridhuan Esa berkata, pihaknya tidak menolak pengumuman pemansuhan hutang oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin sebagai antara pendorong utama pengundi Felda kepada PN.

“Felda bukan lagi kubu BN, juga bukan kubu mana-mana parti politik, sentimen PN hapuskan hutang peneroka banyak membantu kemenangan mereka di Felda.

“Cuma kita tidak tahu bagaimana penghapusan itu benar-benar dilaksanakan,” katanya.

Pada Julai 2021, Muhyiddin, ketika itu perdana menteri, mengumumkan kerajaan PN akan memansuhkan hutang peneroka bernilai RM8.3 bilion, yang merupakan isu terbesar dalam kalangan peneroka.

Berikutan pemansuhan itu, katanya, beban pinjaman setiap peneroka akan berkurangan sehingga 80%.

Terdapat kira-kira 1.5 juta pengundi yang layak mengundi pada PRU15 kali ini di 317 tanah rancangan Felda.

Redhuan yang juga ketua Pemuda Amanah Tenggara berkata, keputusan itu turut menunjukkan pengundi Felda yang berada di kawasan bandar dan separa bandar lebih terbuka menerima PH.

Namun di kawasan pengundi majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu katanya, menunjukkan kecenderungan kepada PN lebih tinggi.

“Antara faktor lainnya adalah sentimen Melayu dan Islam.

“Boleh dikatakan pengundi Melayu di Felda Johor, Negeri Sembilan, dan Selangor lebih progresif, percampuran kepada bangsa lain lebih besar berbanding utara dan pantai timur.

“Beberapa Felda di situ dekat dengan bandar, ia bukan luar bandar, ia kawasan separa bandar, jadi mungkin sebab itu PH boleh kekal kerusi mereka,” katanya.

Pengundi Felda  di kawasan pengundi majoriti Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu menunjukkan kecenderungan kepada PN lebih tinggi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2022.

PRU kali ini turut menyaksikan gabungan PH hanya menang di 11 kerusi Parlimen Felda.

Mereka hilang kerusi Kulim Bandar Bharu, Hulu Selangor, Temerloh, dan Tampin. Manakala kerusi Kubang Pasu dan Pagoh ditandingi Bersatu, ketika parti itu bersama PH pada PRU14.

Komponen mereka dari Amanah menang satu kerusi iaitu di Parlimen Alor Gajah, manakala kerusi Felda PKR kebanyakannya di menangi di Johor yang meliputi Segamat, Sekijang, Ledang, Tebrau, termasuk Sungai Siput dan Tanjung Malim di Perak.

DAP pula menang di Kulai, Labis, Bentong, dan Raub, manakala Warisan pula berjaya mengekalkan penguasaan mereka di Parlimen Silam namun terlepas Kalabakan kepada BN.

Redhuan juga melihat PH tidak memberikan tumpuan khusus kepada Felda dalam siri kempen PRU15 mereka.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan ia menyebabkan gabungan itu hilang beberapa kerusi.

“PH kali ini tidak fokus kepada kerusi Felda, mereka lebih tumpu di kawasan bandar dan separa bandar, tiada ceramah mega di kampung-kampung,” katanya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata, kelemahan jentera BN dalam usaha meraih undi dan sokongan pengundi peneroka menjadi antara faktor yang membuatkan berlaku peralihan undi kepada PN.

“Itu berlaku kerana kelemahan BN, kalau di Felda rata-rata anak muda (sebelum ini) beri (sokongan) kepada BN, tetapi kali ini mengalih dukungan membela Melayu mereka dan pergi kepada PN, berbanding kepada BN.

“(Antara sebabnya BN masih) kekalkan calon muka lama, orang nak muka baharu, di kawasan kampung, bilik gerakan juga ada yang tak aktif, atau kali ini tutup dan tidak ramai petugas…itu mengganggu keyakinan mereka,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hisomuddin berkata, disebabkan kelemahan itu juga, pengundi Felda yang berada di luar, dan kelompok atas pagar melihat PN lebih berjaya menambat hati mereka, berbanding BN.

“Di luar bandar dapat dilihat kali ini kelemahan jentera BN akhirnya tak dapat memenangi kelompok pengundi atas pagar yang dulu melihat BN mampu jadi kerajaan tetapi kali ini mereka nampak elemen itu ada pada PN.

“Pihak lain juga gagal memenangi hati mereka dan mereka nampak PN lagi kukuh,” katanya.

Hisomuddin berkata, kedudukan BN di kawasan tersebut mula goyah pada PRU14 apabila PH yang ketika itu menggerakkan Bersatu berkempen di Felda, menggunakan faktor bekas pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

“Perpecahan itu sudah bermula sejak PRU pada 2018 tetapi dahulu beralih ke PH, namun kali ini kepada PN.

“Bagi saya faktor Bersatu, sebelum ini mereka bersama PH namun sekarang sudah bersama PN,” katanya.

Peralihan sokongan itu juga kata Hisomuddin berkemungkinan daripada pengundi baharu yang pertama kali didaftarkan sebagai pengundi secara automatik termasuk mereka yang berumur 18 tahun ke atas.

PN juga katanya mendapat manfaatnya hasil kempen di media sosial yang berkesan.

“Untuk segmen anak muda (sokongan mereka) rapuh dan kebetulan trend itu berjaya dicipta arusnya oleh PN terutamanya dalam kempen TikTok dan sebagainya, jadi mereka dapat manfaat itu,” katanya. – 1 Disember, 2022.

Iklan
Iklan