Iklan

Cari persamaan janji pilihan raya, penganalisis beritahu Anwar

Alfian Z.M. Tahir2 years ago1st Dec 2022Berita
Anwar ibrahim press conference november 27, 2022 afif 03
Penganalisis politik berkata mustahil Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat penuhi semua janji pilihan raya PH selepas kerajaan perpaduan bersama BN dan GPS dibentuk. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2022.
Iklan

MUSTAHIL Perdana Menteri Anwar Ibrahim dapat memenuhi semua janji pilihan raya Pakatan Harapan (PH) selepas gabungan itu bersetuju membentuk kerajaan perpaduan bersama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS), kata pemerhati dan kumpulan masyarakat sivil.

Apa yang terbaik dilakukan ahli Parlimen Tambun itu ialah mencari persamaan dalam manifesto semua gabungan dalam kerajaan pimpinannya, kata mereka kepada The Malaysian Insight.

Anwar mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ke-10 pada 24 November lalu di Istana Negara, mengakhiri kebuntuan politik yang melanda negara selama enam hari ekoran situasi parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata Anwar sekarang perlu mencari apakah matlamat BN dan GPS yang mempunyai persamaan dan sesuai dengan objektif PH.

Katanya, jika ketiga-tiga gabungan tidak bersetuju dengan mana-mana menifesto maka rundingan harus dibuat supaya penyelesaian dicapai.

“Ini bukan kerajaan PH, tetapi gabungan BN dan GPS dan masing-masing mempunyai janji pilihan raya sendiri.

“Cari persamaan (dalam manifesto), yang boleh disepakati semua orang demi mengekalkan keharmonian kerajaan perpaduan ini. Bincang kalau ada perbezaan,” katanya.

Hisomuddin juga mengingatkan PH supaya tidak terlalu drastik mengambil pendekatan populis, dan menyarankan gabungan pimpinan Anwar itu melihat kepada naratif Melayu Islam yang dimainkan Perikatan Nasional (PN).

“PH tidak boleh terlalu drastik mendesak pendekatan populis. Pertama sekali mereka perlu menjelaskan kepada akar umbi mengapa langkah-langkah sedemikian diambil bagi mengelak sebarang kritikan.

“Mereka juga perlu beri perhatian dengan agenda Melayu Islam. Jika tersilap langkah isu ini akan dimanipulasi oleh PN dan dijadikan isu agama dan perkauman,” ujarnya.

Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Disember, 2022.

Pandangan serupa juga dikongsikan oleh Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia yang berpandangan PH harus menangguhkan dulu idea pembaharuannya jika ia sukar untuk dilaksanakan.

“Mesti dilakukan secara kolektif. Saya faham PH mahu pembaharuan yang baik tetapi kalau sukar untuk dilaksanakan maka lebih baik tangguhkan dulu, buat apa yang mereka mampu untuk memacu negara ke tahap lebih baik.

“Satu lagi contoh, untuk mengetepikan kluster mahkamah daripada Kabinet, saya fikir Anwar tidak boleh ambil keputusan sendiri, beliau perlu berunding dengan BN dalam hal ini,” jelasnya.

Semasa kempen PRU15, PH berikrar untuk membasmi kemiskinan dan sekali lagi berjanji untuk memansuhkan tol di Lebuhraya Utara-Selatan sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan.

PH juga bersetuju untuk menubuhkan jawatankuasa pilihan hhas Parlimen untuk melantik jawatan-jawatan utama perkhidmatan awam, menjamin pemberian taraf kewarganegaraan kepada  anak yang dilahirkan di luar negara, selain ikrarnya untuk membasmi rasuah serta memperkasa demokrasi negara.

BN pula antara lain menawarkan pendidikan percuma kepada anak-anak keluarga B40 dan menetapkan komitmen supaya pelantikan jawatan utama seperti ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu melalui saringan jawatankuasa khas Parlimen.

BN juga berjanji untuk memberi secara automatik bantuan kewangan kepada semua isi rumah yang berpendapatan kurang RM2,208 sebulan bagi membasmi kemiskinan.

Manakala manifesto GPS menggariskan lima tonggak utama yang menjanjikan politik, sosial, ekonomi dan kewangan stabil dan mampan yang diterajui kepimpinan yang mengutamakan masa depan Sarawak.

Kedua, memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan bandar serta luar bandar dititikberatkan demi kesejahteraan rakyat, diikuti menjamin transformasi ekonomi dan pelbagai sumber kewangan mampu meningkatkan pendapatan bagi memacu pembangunan Sarawak sebagai tonggak ketiga.

Menyediakan latihan modal insan dan keadilan sosial serta agama diutama menjadi tonggak keempat manakala kelima memastikan tadbir urus cekap dan berintegriti berprestasi tinggi sebagai pemangkin kemajuan Sarawak. 

Sokong tadbir urus baik

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4) Cynthia Gabriel menggesa semua parti dalam kerajaan perpaduan yang diterajui Anwar menyokong komitmen perdana menteri itu terhadap tadbir urus yang baik, institusi yang bebas termasuk merombak badan antirasuah serta memperkasakan Parlimen. 

“Kita berada dalam situasi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, iaitu bukan kerajaan PH tetapi kerajaan perpaduan. Jadi sekarang parti politik terutamanya Anwar menghadapi cabaran lebih besar untuk mencapai matlamat yang dipersetujui bersama dan ke arah matlamat tadbir urus yang baik.

“Kami menggesa semua gabungan dalam kerajaan perpaduan menyokong usaha Anwar seperti menangani kos sara hidup, menghapuskan ketirisan dan kelulusan perolehan yang telus,” katanya.

Isnin lalu Anwar memaklumkan beliau  telah membatalkan tempahan kenderaan mewah jenis Mercedes S600 yang dibuat oleh pentadbiran terdahulu. 

Beliau mengesahkan tempahan itu dibuat oleh perdana menteri sebelum ini tetapi tidak menamakan siapa.

Berita Harian melaporkan pembelian Mercedes S600 itu dicadangkan oleh pentadbiran Muhyiddin Yassin, sebelum ia diluluskan oleh pentadbiran Ismail Sabri Yaakob. Kereta tersebut dianggarkan berharga lebih RM1 juta, bergantung kepada spesifikasinya.

Anwar sebelum ini berkata tiada pembelian kereta rasmi baharu untuk kegunaannya dan sebarang ubah suai pejabatnya bagi mengelak pembaziran di bawah pentadbirannya.

Beliau juga  tetap berpendirian untuk tidak menerima gaji bagi jawatan perdana menteri dan berikrar kabinetnya akan lebih kecil berbanding Kabinet sebelum ini. – 1 Disember, 2022. 

Berita penuh di sini


 

Iklan
Iklan