Iklan

Manifesto bantah pembangunan berlebihan KL akan dibawa ke Parlimen minggu depan

Asila Jalil7 years ago6th Mar 2018Berita
Selamatkan kl tmikamal 01
Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur Dr Abdul Aziz Abdul Rahman mengatakan sudah tiba masanya bantahan pembangunan berlebihan di KL dibawa ke peringkat lebih tinggi kerana DBKL tidak bekerjasama. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Mac, 2018.
Iklan

GABUNGAN persatuan penduduk akan meneruskan perjuangan mereka menentang pembangunan berlebihan di Kuala Lumpur ke Parlimen, kata Dr Abdul Aziz Abdul Rahman.

Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur (SKL) itu mengatakan persatuan sudah mencapai tahap mereka mahu pihak berkuasa mendengar bantahan mereka mengenai isu pembangunan berlebihan.

“Kami sekarang perlu pergi ke peringkat lebih atas untuk membantah keengganan Dewan Bandaraya (Kuala Lumpur) mengazetkan pelan tempatan.

“Dan inilah usaha kami untuk mendapatkan semua ahli Parlimen di Kuala Lumpur bekerjasama mendesak apa yang diperuntukan undang-undang,” kata Aziz kepada The Malaysian Insight pada pertemuan dengan ahli Parlimen dari Kuala Lumpur semasa sesi bertemu rakyat di Bangsar malam ini.

Daripada 11 ahli Parlimen di Kuala Lumpur yang dijemput, hanya tujuh yang datang dan kesemua mereka daripada Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen yang hadir ialah Teresa Kok (Seputeh), Tian Chua (Batu), Lim Lip Eng (Segambut), Fong Kui Lun (Bukit Bintang), Tan Kee Kwong (Wangsa Maju), Tan Kok Wai (Cheras) dan Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil yang mewakili Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Pelan struktur yang meluas dan pelan tempatan perlu dirangka dan digazetkan di bawah Akta (Perancangan) Wilayah Persekutuan 1982.

Kedua-dua pelan itu memberikan definisi kepada soal penggunaan tanah untuk pembangunan di ibu kota.

Bagaimanapun, pelan tempatan dikenali sebagai Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 tidak digazetkan sejak dilancarkan pada 2008.

Pengerusi Selamatkan Kuala Lumpur Dr Abdul Aziz Abdul Rahman (tengah) bersama-sama ahli Parlimen dari Kuala Lumpur malam ini membincangkan isu keengganan DBKL mengazetkan Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020. Daripada 11 ahli Parlimen yang dijemput, hanya tujuh datang, semua daripada Pakatan Harapan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 6 Mac, 2018.

 “Sangat memalukan untuk KL sebagai ibu kota Malaysia dan bandar yang dikenali ramai tiada pelan.

“Ia penghinaan kepada kita semua dan kerana itulah kami melakukan semua ini, (supaya) pihak berkuasa akan sedar dan pelan itu digazetkan,” katanya menambah yang persatuan itu berharap dapat mengutarakan isu itu kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Timbalan Pengerusi SKL M. Ali berkata mereka merancang pergi ke Parlimen pada tengahari Isnin untuk menyerahkan manifesto mereka.

“Jika kami tak boleh masuk, kami akan beri manifesto kepada ahli Parlimen dan harap mereka serahkan kepada perdana menteri,” katanya.

Manifesto itu terdiri daripada empat perkara utama bagi memastikan pertumbuhan lestari ibu kota iaitu demokratisasi majlis perbandaran, penglibatan berkesan komuniti, perlindungan kawasan hijau dan ruang awam serta pengazetan dan penguatkuasaan pelan tempatan.

Tian Chua mengatakan tindakan itu bagi mendesak kerajaan meneliti isu berkenaan.

“Kita akan tengok macam mana. Mereka mahu jumpa perdana menteri tapi jika dia (Najib) menolak, kami akan terus mencuba,” katanya.

Awal bulan ini, SKL mendesak wakil rakyat di ibu kota untuk bangkit membantah pembangunan berlebihan di Kuala Lumpur. Mereka menghadiri World Urban Forum di Kuala Lumpur Convention Centre bagi melakukan bantahan dan menyerahkan memorandum pembangunan berlebihan kepada DBKL. – 6 Mac, 2018.

Iklan
Iklan