Pemilihan Speaker agenda pertama sidang Dewan Rakyat 19 Disember
Iklan
PEMILIHAN Speaker Dewan Rakyat akan menjadi agenda pertama persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung selama dua hari bermula 19 Disember ini.
Menurut Setiausaha Dewan Rakyat Nizam Mydin Bacha Mydin, ini akan disusuli dengan angkat sumpah ahli Parlimen yang baru dipilih.
Ahli Parlimen kemudiannya akan mengundi untuk menggantikan Speaker Dewan Rakyat sekarang Azhar Azizan Harun.
Azhar dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat pada Julai 2020.
Turut dalam agenda ialah usul undi percaya kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Pada Isnin, presiden PKR itu berkata beliau akan menghadapi undi percaya bagi membuktikan beliau mendapat sokongan Dewan dan untuk menangani persoalan kesahihan kerajaan.
Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh dari PKR berkata Anwar tidak perlu lagi berbuat demikian, kerana beliau jelas mendapat sokongan lebih daripada 140 ahli Parlimen.
Ahli Parlimen Tambun itu bagaimanapun berkata Ramkarpal telah mentafsirkannya berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, kerana terdapat majoriti yang jelas.
“Ini bukan sahaja mengenai keperluan perlembagaan, kita juga perlu mengambil kira kesahihan dari aspek politik, jadi kita tetap akan meneruskan usul percaya pada 19 Disember ini,” kata Anwar.
Perdana menteri baharu yang membentuk kerajaan perpaduan termasuk dengan Barisan Nasional dijangka menamakan barisan Kabinetnya esok.
Perikatan Nasional adalah pakatan pembangkang di Parlimen. – 1 Disember, 2022.