MCA, Gerakan bakal berakhir jika tidak berubah, kata penganalisis
Iklan
PILIHAN raya umum (PRU) yang baru saja berakhir menunjukkan dua parti utama untuk kaum Cina, MCA dan Gerakan bakal terkubur dalam arena politik jika mereka tidak bertindak berubah, kata penganalisis politik.
Mereka berkata untuk dua parti itu kekal relevan, mereka perlu berhenti menjadi parti yang mewakili hanya satu kaum tertentu saja, mereka perlu merangka naratif politik baharu, mencari rakan kerjasama baharu dan pemimpin baharu.
Gerakan, yang menjalinkan kerjasama dengan gabungan Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada PAS dan Bersatu, kalah di semua kerusi ditandingi, sementara MCA yang masih setia bersama Barisan Nasional (BN) hanya menang dua kerusi di Johor.
Presiden MCA Wee Ka Siong berjaya mengekalkan kerusinya di Ayer Hitam sementara Wee Jack Seng dapat mempertahankan kerusi Parlimen Tanjung Piai yang dimenanginya sejak pilihan raya kecil pada November 2019.
Pemimpin utama MCA yang kalah pada PRU15 termasuk timbalan presiden Mah Hang Soon di Tanjung Malim, bekas presiden Liow Tiong Lai gagal merebut kembali kerusi Bentong, setiausaha agung Chong Sin Woon di Raub dan ketua Pemuda Nicole Wong Siaw Ting kalah di Tebrau, Johor.
Bekas presiden Kolej Universiti Southern yang juga pengulas politik Thock Kiah Wah memberitahu The Malaysian Insight dua parti itu perlu berubah secepat mungkin untuk kekal relevan.
Beliau berkata jika dua parti itu tetap berdegil untuk kekal dengan dasar mereka yang khusus kepada kaum Cina, maka masa depan mereka akan gelap kerana populasi Cina semakin menyusut.
“Gerakan mungkin kata ia parti berbilang kaum tetapi ia tidak dapat sokongan baharu sejak jatuh bermula 2013,” katanya, berkata parti itu terlalu fokus kepada bank undi kaum Cina.
Thock berkata sangat penting untuk Gerakan merangka naratif politik baharu pada masa ini bagi menepati jangkaan dan permintaan pengundi.
“Pemimpin MCA dan Gerakan perlu melihat kembali keadaan mereka, kumpul maklum balas, berkongsi pandangan dan berinteraksi dengan pengundi tentang bagaimana untuk berdepan dengan lawan politik mereka yang utama iaitu DAP.
“Apatah lagi, Gerakan adalah serpihan parti MCA walaupun mereka kini berbeza gabungan. Politik penuh dengan pelbagai kemungkinan.” – 2 Disember, 2022.
Berita penuh di sini.