Iklan

Tak wajar Muhyiddin kritik Kabinet Anwar, kata Fahmi

Alfian Z.M. Tahir2 years ago3rd Dec 2022Berita
52221093411 03e84c5d17 o
Iklan

TIDAK wajar Muhyiddin Yassin mengkritik Anwar Ibrahim melantik Ahmad Zahid Hamidi kerana pembentukan Kabinet telah dipersetujui oleh semua parti di bawah kerajaan perpaduan, kata Fahmi Fadzil.

Menteri komunikasi digital (PH) berkata pengerusi Perikatan Nasional (PN) sepatutnya lebih tahu kerajaan yang ada sekarang bukan kerajaan PH sahaja.

“Mungkin Muhyiddin lupa, tetapi ini bukan kerajaan PH, ini kerajaan perpaduan yang dibentuk bersama, di mana dasar atau keputusan penting akan dibuat secara berunding termasuk dalam isu pelantikan Jemaah Menteri.

“Ini adalah satu perubahan penting bagi mengelak kesilapan yang berlaku dalam setiap pentadbiran sejak 2018, di mana pelantikan Kabinet sering dibuat tidak mengikut saluran kepimpinan utama parti,” kata Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH).

Awal hari ini Muhyiddin Yassin menyelar perdana menteri kerana melantik kleptokrat dalam kabinetnya.

Bekas perdana menteri itu merujuk kepada Ahmad Zahid yang diumumkan sebagai timbalan perdana menteri malam tadi, walaupun selama ini lantang bercakap tentang pentadbiran yang bersih.

“Ini adalah barisan Kabinet paling mengecewakan dalam sejarah negara apabila seorang yang dipanggil membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai timbalan perdana menteri.

“Tindakan Anwar ini ibarat menjual maruah negara semata-mata kerana keinginannya menjadi perdana menteri,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Mengulas lanjut, Fahmi mengingatkan Muhyiddin yang kerajaan sedia ada turut diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Muhyiddin bukan sekadar melemparkan fitnah tetapi membuat tuduhan keterlaluan terhadap perdana menteri dan kerajaan perpaduan yang dilantik dan dibentuk atas nasihat Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.”

“Jika Muhyiddin tidak berpuas hati, jangan marah atau melemparkan tuduhan kepada perdana menteri, sebab bukan perdana menteri yang menamakan calon daripada parti atau gabungan lain.”

“Penting bagi saya untuk tekankan komitmen perdana menteri yang kerajaan perpaduan ini tidak akan sekali-kali mencampuri urusan kehakiman dalam apa jua keadaan,” kata Fahmi. – 3 Disember, 2022.

Iklan
Iklan