DAP sedia berkorban asalkan Anwar jadi PM, kata Loke
Iklan
DAP menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri tanpa sebarang syarat malah bersedia berkorban apa sahaja asalkan pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu dapat membentuk kerajaan, kata Anthony Loke.
Setiausaha agung DAP itu berkata berkata partinya telah berikrar untuk memberikan sokongan tanpa syarat kepada Anwar untuk menjadi perdana menteri.
“Kami sokong tanpa letak sebarang syarat. Saya kata jika DAP menjadi batu penghalang (dalam membentuk kerajaan baharu), kita akan memudahkan proses beliau mendapat majoriti,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP hari ini.
Loke juga berkata parti itu tidak membuat sebarang tuntutan untuk jumlah jawatan kabinet.
DAP sebaliknya menyerahkan kepada budi bicara perdana menteri, kata menteri pengangkutan baharu itu, menambah perjuangan partinya bukan untuk jawatan tetapi untuk negara.
“Justeru apa pun jawatan yang diberikan, kita akan buat yang terbaik untuk negara,” katanya.
Bagaimanapun katanya Anwar bertegas DAP perlu dimasukkan dalam kerajaan. Pada pilihan raya umum baru-baru ini, DAP menang 40 kerusi, terbanyak dalam kalangan parti PH.
Selepas Kabinet diumumkan Anwar, DAP diberikan empat jawatan daripada 28 jumlah Jemaah Menteri.
Selain Loke, menteri DAP yang lain ialah V Sivakumar sebagai menteri sumber manusia, Nga Kor Ming sebagai menteri pembangunan kerajaan tempatan, dan Hannah Yeoh sebagai menteri belia dan sukan.
Loke berkata sesetengah ahli DAP mungkin menganggap mereka tidak mempunyai perwakilan yang mencukupi dalam kerajaan.
“Tetapi, perjuangan kita dalam politik bukan untuk jawatan tetapi untuk negara. Jadi apa pun jawatan yang kita dapat, kita akan buat yang terbaik.
“Kami akan memastikan semua menteri DAP bekerja keras berganda-ganda dan menyampaikan portfolio masing-masing.” – 3 Disember, 2022.