Kerajaan Perpaduan ditubuh dengan BN bukan Zahid, kata Anthony Loke
Iklan
KERAJAAN Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim ditubuhkan dengan Barisan Nasional (BN) bukan dengan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi, kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke.
“Semua dalam DAP faham prinsip tersebut. Kerajaan perpaduan ini adalah dengan BN.
“Keputusan dibuat (dengan BN) dengan konsensus. Jika kami tidak tubuhkan kerajaan, parti lain akan tubuhkan kerajaan,” katanya di ibu pejabat DAP hari ini.
Loke berkata demikian ketika mengulas sama ada Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP dan ahlinya bersetuju penubuhan Kerajaan Perpaduan dengan penglibatan Zahid dalam Kabinet.
Zahid berdepan 47 pertuduhan berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram.
Pengerusi BN itu dinamakan sebagai salah seorang daripada timbalan perdana menteri dalam Kabinet Anwar.
Zahid turut diberikan jawatan menteri kemajuan desa dan wilayah.
Kata Loke kes Zahid bergantung kepada proses mahkamah yang masih berjalan.
“Kami dalam Kabinet hanya membincangkan agenda negara dan rakyat. Itu pendirian kita.
“Kami tidak bincang agenda kes masing-masing. Tidak akan disentuh, tak akan dibincang berkenaan dengan kes masing-masing,” katanya.
Tambahnya, Kerajaan Perpaduan itu pendekatan baharu jadi semua pihak perlu belajar untuk bekerjasama.
“Sebab keputusan pilihan raya itu menunjukkan tiada satu parti boleh tubuhkan kerajaan tanpa kerjasama dengan gabungan lain.
“Kita kena belajar macam mana untuk kerja sama-sama. Ini alah usaha bersama yang mesti kita sama-sama lakukan,” kata menteri pengangkutan itu.
Pada pilihan raya umum lalu, PH menang 82 kerusi namun tidak dapat membentuk kerajaan Persekutuan sendiri.
Anwar perlu bergabung dengan BN yang menang 30 kerusi untuk menubuhkan Kerajaan Perpaduan bersama dengan sokongan 23 kerusi dari Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menjadikan jumlah keseluruhannya 135 kerusi.
Parti-parti kecil yang lain kemudiannya turut menyertai Kerajaan Perpaduan ini. – 3 Disember, 2022.