Iklan

Isteri Pastor Koh harap kerajaan Anwar beri sinar baharu

Noel Achariam2 years ago4th Dec 2022Berita
Susanna liew pastor koh (2)
Susanna Liew berharap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan dapat membawa pihak yang bertanggungjawab menculik suaminya Pastor Raymond Koh pada 2017 ke muka pengadilan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2022.
Iklan

SUSANNA Liew, isteri kepada paderi Raymond Koh Keng Joo yang hilang sejak 2017, berharap kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan dapat merungkai misteri kehilangan suaminya dan beberapa lagi aktivis.

Liew memberitahu The Malaysian Insight, tidak banyak yang dilakukan kerajaan terdahulu untuk membawa pihak yang bertanggungjawab menculik Koh ke muka pengadilan.

“Kerajaan sebelum ini tidak serius menyiasat. Langsung tiada perkembangan daripada mereka (pihak berkuasa).

“Kami tak boleh terus menunggu. Sudah lebih lima tahun sejak Koh hilang tapi masih belum selesai,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Liew percaya kerajaan perpaduan diterajui Anwar yang juga perdana menteri ke-10 akan lebih bersikap adil dan memperjuangkan hak asasi manusia serta mampu menyelesaikan misteri kehilangan suaminya.

“Saya berharap keadaan akan lebih baik,” ujarnya.

Koh diculik lelaki bertopeng ketika memandu di Petaling Jaya, Selangor, pada 13 Februari 2017. Hampir 3 bulan sebelum itu, aktivis dari Perlis Amri Che Mat juga hilang selepas keluar dari rumahnya di Kangar pada malam 24 November 2016.

Siasatan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) pada 13 April 2019 membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas bertanggungjawab atas kehilangan paksa membabitkan Amri dan Koh.

Undang-undang hak asasi antarabangsa mentafsirkan kehilangan paksa sebagai seseorang yang diculik secara rahsia atau dipenjarakan oleh kerajaan atau organisasi politik, atau oleh pihak ketiga dengan kuasa, sokongan atau persetujuan daripada kerajaan atau organisasi politik.

Pada 2019, Muhyiddin Yassin ketika itu menteri dalam negeri telah mengarahkan supaya satu pasukan petugas khas dibentuk bagi meneliti laporan Suhakam berhubung kehilangan Amri dan Koh.

Pasukan itu diberi masa selama enam bulan bermula Jun tahun itu bagi mengesyorkan tindakan wajar yang perlu diambil oleh kerajaan atau pihak yang bertanggungjawab dalam kes tersebut.

Susanna Liew berkata kerajaan terdahulu tidak serius menyiasat kes kehilangan suaminya Pastor Raymond Koh. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Disember, 2022.

Mengulas lanjut mengenai harapannya terhadap kerajaan baharu, Liew berkata beliau akan cuba mendapatkan bantuan Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok untuk bertemu Anwar awal tahun depan.

Beliau selain itu berharap kerajaan akan meneliti kesimpulan siasatan Suhakam membabitkan pihak polis.

“Saya ia perlu dipandang serius dan pihak berkuasa perlu mengambil tindakan.”

Pada 15 April tahun lepas, siasatan awam Suhakam menyimpulkan Pastor Joshua Hilmy dan isterinya Ruth Sitepu juga mangsa kehilangan secara paksa.

Pesuruhjaya Suhakam Mohd Hishamudin Yunus bagaimanapun memaklumkan siasatan tidak menemui bukti bahawa  pegawai atau ejen kerajaan terlibat dalam kes kehilangan pasangan itu. 

Kesimpulan ini berbeza dengan kes kehilangan Koh dan Amri, iaitu melibatkan anggota polis Cawangan Khas.

Sehingga ke hari ini, kehilangan Koh, Amri, Joshua dan Ruth kekal sebagai kes berprofil tinggi. – 4 Disember, 2022. 

Iklan
Iklan