Portfolio Zahid, Mat Sabu boleh tawan Melayu luar bandar semula, kata penganalisis
Iklan
AHMAD Zahid Hamidi dan Mohamad Sabu ditugaskan menerajui dua kementerian yang kuat dalam usaha untuk memenangi kembali sokongan Melayu yang sudah beralih kepada Perikatan Nasional (PN), kata penganalisis.
Menurut mereka Perdana Menteri Anwar Ibrahim membuat keputusan tepat dalam memberikan kementerian itu kepada dua pemimpin tersebut untuk memulihkan sokongan Melayu.
Dalam barisan Kabinet yang diumumkan minggu lalu itu Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno dilantik sebagai timbalan perdana menteri serta menteri kemajuan desa dan wilayah.
Sementara Presiden Amanah, Mohamad Sabu dilantik sebagai menteri pertanian dan keterjaminan makanan.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata kementerian diteraju Zahid mempunyai banyak sumber untuk menawan pengundi Melayu termasuk program untuk memenuhi keperluan masyarakat.
Menurutnya juga kementerian Mat Sabu boleh memainkan peranan penting dalam menarik sokongan peneroka Felda yang beralih angin memilih PN pada PRU15.
“Di bawah dua kementerian ini ada banyak program yang boleh membantu Melayu di kawasan luar bandar. Zahid dan Mat Sabu boleh menembusi langsung masyarakat tersebut.
“Ini boleh jadi strategi kerajaan baharu untuk raih undi lagi. Memandangkan Zahid sekarang timbalan perdana menteri dan Presiden Umno, ini mungkin akan disenangi pengundi Melayu,” katanya.
Menurutnya, Zahid dan Mat Sabu boleh membangun infrastruktur serta meningkatkan rangkaian Internet sebagai salah satu cara menawan hati pengundi Melayu di kawasan luar bandar.
“Baiki jalan, buat lebih banyak jalan dan luaskan rangkaian Internet. Jika mereka boleh buat ini dalam tempoh lima tahun, pengundi Melayu akan nampak perubahan itu. Apa yang diperlukan ‘political will’,” katanya.
Pada pilihan raya umum baru-baru ini, PH dan BN hilang sokongan Melayu apabila PN menang hampir 54% undi Melayu.
Parti Melayu, Umno dan Amanah tewas kepada Bersatu dan PAS di kebanyakan kerusi luar bandar terutama di kawasan Pantai Timur termasuk Felda.
Keputusan undian menunjukkan satu daripada tiga kerusi Parlimen dimenangi PN ada kawasan Felda menjadikan kira-kira 35% daripada jumlah keseluruhan 73 kerusi dimenangi gabungan itu.
PN menang 26 daripada 54 kerusi di kawasan Parlimen Felda berbanding tujuh kerusi dimenangi PAS pada PRU 2018. Pada PRU15, PAS menang 16 kerusi manakala Bersatu menang 10 kerusi.
Data pilihan raya yang dikumpulkan aktivis Felda, Pertubuhan Suara Generasi Felda (PSGF) mendedahkan BN hilang kerusi di Parlimen Felda secara konsisten sejak tiga PRU lalu.
Pada PRU 2013, parti itu menang 48 daripada 54 kerusi di Parlimen Felda.
BN yang menang 30 kerusi Parlimen dalam PRU15 kalah 12 kerusi Parlimen Felda apabila gabungan itu hanya mampu menawan 16 Parlimen Felda kali ini. – 5 Disember, 2022.
Berita penuh di sini