Iklan

Siti Kasim ikrar terus berkhidmat di Batu walaupun tewas

Noel Achariam2 years ago5th Dec 2022Berita
General election ge15 siti zabedah kasim interview 01
Aktivis yang juga peguam, Siti Kasim berkata pusat khidmatnya tetap dibuka untuk penduduk di Parlimen Batu walaupun pengundi menolak calon Bebas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 5 Disember, 2022.
Iklan

AKTIVIS yang juga peguam, Siti Kasim berkata beliau akan terus berkhidmat kepada penduduk di Parlimen Batu walaupun tewas di kerusi itu pada pilihan raya umum baru-baru ini.

Beliau berkata pusat khidmatnya tetap dibuka untuk penduduk di situ walaupun pengundi menolak calon Bebas.

“Saya akan meneruskan pusat khidmat saya selagi ada pembiayaan daripada orang ramai untuk memastikan ia terus berjalan.

“Saya akan terus membantu penduduk Batu dan bersuara mengenai isu penting,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Siti Kasim juga berkata beliau akan menganjurkan majlis makan malam untuk mengumpul dana bagi mengendalikan pusat itu.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bertanding semula dalam pilihan raya akan datang.

“Ya, saya akan lakukan jika saya masih sihat. Tetapi, saya mungkin ada perancangan lain untuk lima tahun akan datang.

“Jadi, lihatlah ruang ini (Batu). Saya suka bertanding semula di sini kerana saya suka kawasan itu dan saya tinggal berdekatan. Lebih mudah untuk berkhidmat di kawasan itu.”

Calon Pakatan Harapan daripada PKR, P. Prabakaran menang dengan majoriti 22,241 undi dalam pertembungan 10 penjuru pada PRU15. Siti Kasim hanya memperoleh 653 undi dan hilang wang deposit.

Beliau berkata kemenangan Prabakaran kerana orang ramai mengundi parti itu.

Calon Pakatan Harapan daripada PKR, P. Prabakaran menang dengan majoriti 22,241 undi dalam pertembungan 10 penjuru pada PRU15. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Disember, 2022.

Ini kerana, katanya rakyat sangat percaya PH mesti menang untuk membentuk kerajaan.

“Majoriti rakyat mengundi kerana logo (Pakatan). Perikatan Nasional mendapat banyak sokongan daripada orang Melayu.

“Tetapi, saya lebih suka Barisan Nasional daripada PN… bukan PAS kerana mereka ekstremis menggunakan agama.”

Siti Kasim juga berkata beliau tidak terkejut dengan keputusan itu kerana menyedari peluangnya kecil.

Ini kerana katanya, beliau menentang parti yang mempunyai jentera besar.

“Satu-satunya sebab saya bertanding adalah untuk mengetengahkan manifesto saya iaitu pengasingan agama daripada kerajaan dan politik.

“Saya mahu mewujudkan kesedaran mengenainya. Saya nak kata saya cukup bertuah walaupun hilang deposit.

“Jadi, ia bukan sesuatu yang saya tidak sedar. Saya realistik mengenainya.” – 5 Disember, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan