Iklan

Perjalanan MCA dan MIC masih jauh untuk kekal relevan, kata penganalisis  

Alfian Z.M. Tahir2 years ago6th Dec 2022Berita
Mca mic
MCA dan MIC telah kehilangan kekuatan politik mereka selepas menunjukkan prestasi buruk pada pilihan raya umum lalu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Disember, 2022.
Iklan

MCA dan MIC yang merupakan ahli pengasas Barisan Nasional, akan menempuh perjalanan sukar berikutan prestasi buruk mereka dalam pilihan raya umum, dan seterusnya ketidakhadiran mereka dalam Kabinet, kata penganalisis.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kedua-dua parti ini telah kehilangan kekuatan politik mereka, dan boleh diketepikan daripada kabinet Anwar Ibrahim kerana masalah dalam BN.

Mereka juga berkata kedua-dua parti ini tidak berada dalam kedudukan selesa yang membolehkan mereka membuat sebarang tuntutan sekarang, tetapi tidak menolak kemungkinan mereka dimasukkan sebagai timbalan menteri.

“Pengecualian dalam Kabinet boleh diterjemah sebagai satu bentuk hukuman kerana MCA dan MIC telah menuntut Ahmad Zahid Hamidi melepaskan jawatannya sebagai pengerusi BN,” kata Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia.

“MCA dan MIC juga tidak banyak menyumbang dengan kekalahan di hampir semua kerusi yang ditandingi. Pelantikan ahli Parlimen BN ke dalam Kabinet Anwar disyorkan Zahid kepada perdana menteri.

“MCA dan MIC tidak boleh membuat tuntutan atau bersuara kerana prestasi mereka sendiri. Malah DAP yang memenangi banyak kerusi hanya diberikan empat jawatan menteri,” kata Mazlan.

Beberapa hari selepas PRU15, Setiausaha Agung MCA Chong Sin Woon berkata pihaknya telah hilang keyakinan terhadap Zahid dan menggesa beliau memberi laluan kepada seseorang baharu untuk mengetuai gabungan itu.

Bekas naib presiden MIC C. Sivarraajh dalam pada itu menggesa Zahid untuk “berehat dan berui laluan kepada orang lain memimpin”.

Ini selepas BN hanya memenangi 30 daripada 222 kerusi Parlimen yang ditandinginya.

Pada PRU15, MCA mengekalkan kerusi Ayer Itam dan Tanjung Piai manakala MIC menang di Tapah melalui timbalan presidennya M Saravanan.

Mungkin timbalan menteri

Sementara itu Hisomuddin Bakar dari Ilham Centre berkata keadaan akan tetap sama untuk pentadbiran Anwar dengan atau tanpa MCA dan MIC.

Hisomuddin menegaskan apa yang lebih penting ialah bagaimana tinbdakan Kabinet yang baru dibentuk dalam usaha menyelesaikan masalah rakyat.

“Dengan atau tanpa MCA dan MIC, tidak ada pengaruh besar ke atas kabinet Anwar kerana MCA dan MIC sama-sama kehilangan sokongan masyarakat Cina dan India.

“Apa yang penting ialah bagaimana kabinet mampu bekerja untuk seluruh negara terutama golongan yang memerlukan tanpa mengira warna kulit,” kata Hishamuddin.

Dr Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata walaupun nampaknya MCA dan MIC tidak disyorkan oleh BN untuk menjadi sebahagian daripada Kabinet, ia masih perlu dilihat berkemungkinan pemimpin parti akan dilantik sebagai timbalan menteri.

“Dalam landskap politik yang tidak menentu ini, segala-galanya mungkin, dan mereka tidak patut diabaikan sepenuhnya,” kata Oh.

Anwar masih belum mengumumkan timbalan menterinya.

Minggu lalu, Setiausaha Agung Pakatan Harapan (PH), Saifuddin Nasution Ismail berkata, kerajaan Anwar mungkin mempertimbangkan untuk memberi Sivaraj peranan yang sesuai dalam pentadbiran Anwar.

Ini selepas pemimpin MIC itu bersetuju untuk menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya Padang Serai Rabu ini bagi membolehkan calon PH mendapat peluang yang lebih baik untuk menang.

“Penyingkiran Sivaraj dibuat tanpa syarat, tetapi saya yakin sebagai pemimpin muda, Sivaraj berhak mendapat tempat,” kata Saifuddin.

Meredakan rasa tidak senang Melayu

Beberapa hari kebelakangan ini, terdapat bantahan di kalangan orang ramai mengenai kekurangan wakil bukan Melayu dalam Kabinet 28 anggota Anwar.

Masyarakat India secara khusus berkata mereka mempunyai lebih ramai menteri dalam pentadbiran Pakatan Harapan pada 2018 dengan empat orang.

Dalam kabinet sekarang, hanya ada seorang wakil India.

Penganalisis bagaimanapun berkata kerajaan perpaduan Anwar mempunyai campuran komposisi kaum yang baik.

“Cara saya melihatnya, Anwar mempunyai ahli Kabinet campuran. Seorang timbalan perdana menteri dari Sarawak dan kita perlu ingat, Kabinet tidaklah sebesar sebelum ini,” kata Mazlan.

Oh sementara itu berkata walaupun Kabinet campuran adalah penting, realiti politik masih kekal bahawa kebanyakan orang Melayu tidak selesa dengan Kabinet “terlalu” seimbang dari segi kaum.

“Oleh itu Anwar juga perlu mengubah kabinetnya untuk meredakan rasa tidak puas hati majoriti Melayu sedia ada, supaya dia masih boleh mengekalkan sekurang-kurangnya sokongan orang Melayu,” tegas Oh.– 6 Disember, 2022.

Iklan
Iklan