Iklan

Pendidikan percuma cuma janji kosong Pakatan

Yasmin Ramlan7 years ago7th Mar 2018Berita
University industry dialogue tmifarhan 02
Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh berkata, Pakatan Harapan patut membuktikan terlebih dahulu yang mereka mampu memberi pendidikan percuma dengan melaksanakan janji itu di negeri yang ditadbir mereka. – Gambar The Malaysian Insight oleh Farhan Nazmi, 7 Mac, 2018.
Iklan

JANJI Pakatan Harapan untuk memberikan pendidikan percuma hanyalah janji kosong, kata Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh.

Beliau berkata, sekiranya pembangkang mahu melaksanakan pendidikan percuma, ia seharusnya dibuktikan terlebih dahulu terhadap universiti di negeri di bawah pentadbiran mereka seperti Univerisiti Selangor (Unisel).

“Lama dah cerita free university ni… Unisel tu kalau kita (kerajaan) tak tolong, (dah) tutup.

“Kalau mereka (PH) betul-beul nak sediakan free education, mengapa tak dilaksanakan di Unisel?” Soalnya apabila ditanya mengenai pendidikan percuma yang sering diuar-uarkan oleh PH jika menang pilihan raya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Dialog Universiti-Industri di Hotel Hilton Kuala Lumpur hari ini.

PH dilaporkan yakin dapat melaksanakan 10 janji dalam tempoh 100 hari jika berjaya membentuk kerajaan selepas PRU14 dan salah satu daripada senarai itu adalah pendidikan percuma di universiti awam.

Ahli Parlimen Besut itu berkata, yuran universiti di negara ini antara yang termurah, sambil memberi contoh perbandingan bayaran yuran bagi kursus pengajian antara bayaran sebenar dan yang ditawarkan di oleh kerajaan.

“Saya nak beritahu yuran di universiti kita ni dah 20 tahun tak naik.

“Antara the cheapest (yang termurah) sebenarnya. Kalau kita lihat (mereka) yang buat (kursus) perubatan, bayaran lebih kurang RM15,000, RM18,000 untuk lima tahun, di mana kos keseluruhannya adalah RM300,000.

“Jadi, mereka bayar tak sampai 5% pun. Yang buat engineering (kejuruteraan) bayar tak smapai 10% daripada kos yang lebih kurang RM150,000,” katanya.

Sebelum ini, beliau pernah berkata, Unisel pasti sudah ditutup jika tidak menerima bantuan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Beliau berkata negeri terkaya di Malaysia, Selangor sepatutnya menawarkan pendidikan percuma kepada universiti yang ditadbirnya itu terlebih dahulu.

“Tapi biasalah, pembangkang tak ada cerita lain dia nak cari. Kalau dia nak buat, buat dulu Selangor. Itu dah lama tak boleh buat.

“Memang pembangkang dia tak boleh buat (pendidikan percuma) dia cerita nak membangkang saja. Janji saja. Janji kosong. Sebab janji dulu tak buat lagi, sekarang dah janji lagi,” katanya. – 7 Mac, 2018.

Iklan
Iklan