Kumpulan hak asasi minta Azalina selesai isu kerakyatan automatik
Iklan
KUMPULAN sokongan keluarga meminta kerajaan baharu meminda perlembagaan persekutuan dengan segera bagi menghapuskan diskriminasi untuk kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara.
Ini bagi membolehkan anak yang dilahirkan di luar negara kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan warga asing mendapat secara automatik menjadi warganegara Malaysia, kata Family Support & Welfare Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers).
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Family Frontiers Chee Yoke Ling berharap menteri undang-undang yang baru dilantik Azalina Othman akan melihat perkara ini.
“Kami berharap Azalina dapat membentangkan cadangan kepada Kabinet untuk luluskan pindaan yang dikemukakan kepada Parlimen.
“Kami berharap kerajaan dapat mempercepatkan proses itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Chee berkata undang-undang sedia ada bersifat diskriminasi kerana lelaki Malaysia yang berkahwin dengan wanita asing mempunyai hak untuk anak mereka menjadi warganegara secara automatik tetapi ia telah dinafikan kepada wanita Malaysia.
Azalina adalah penyokong kuat untuk memberikan hak yang sama kepada ibu Malaysia.
Pada 5 Oktober lepas, Dewan Rakyat menolak 17 rang undang-undang persendirian yang memohon pindaan perlembagaan bagi membolehkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga Malaysia diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.
Semasa persidangan itu, Azalina berkata Speaker Azhar Azizan Harun menolak rang undang-undang itu atas alasan peruntukan di bawah Bahagian III Perlembagaan Persekutuan tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja.
Dalam rang undang-undang persendiriannya, Azalina memohon untuk meminda Perkara 14 seksyen 1(b) dan 1(c) Bahagian 2, Jadual 2 Perlembagaan Persekutuan, untuk memasukkan perkataan “atau ibu” untuk membenarkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia untuk diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.
Perkara 14(1)(b) menyatakan setiap orang yang dilahirkan pada atau selepas Hari Malaysia, memenuhi mana-mana syarat dalam Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang manakala seksyen 1 b) Bahagian II Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan menyatakan setiap orang yang dilahirkan di luar Persekutuan, yang bapanya pada masa kelahiran seorang warganegara, adalah warganegara melalui kuat kuasa undang-undang.
Chee berkata, sudah tiba masanya kerajaan baharu menunaikan janji berhubung isu itu yang dibuat semasa pilihan raya umum ke-15.
Beliau berkata bahawa Family Frontiers sedang merangka memorandum untuk dibentangkan kepada Azalina dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat Nancy Shukri dan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam bulan ini.
“Kami pasti akan menghubungi mereka untuk mengadakan pertemuan. Azalina sangat menyokong dan kami sangat teruja dengan kenyataan rasmi pertama beliau sebagai menteri yang mana beliau menekankan undang-undang kewarganegaraan yang tidak sama rata ini sebagai undang-undang lapuk untuk perubahan.”
Awal minggu ini Saifuddin berkata isu kewarganegaraan melibatkan kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu Malaysia adalah dalam agenda kerajaan dan berikrar untuk beri keutamaan.
Saifuddin berkata kementeriannya akan meneliti perkara itu dari setiap aspek termasuk perlembagaan, undang-undang sedia ada dan kemanusiaan.
Chee berkata, menurut jawapan Parlimen pada Julai, sebanyak 4,870 permohonan kewarganegaraan diterima dari 2013 hingga 2022, dengan 1,728 ditolak tanpa alasan yang dinyatakan.
Family Frontiers dan enam ibu yang terkesan telah memfailkan kes perlembagaan pada 2020 untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa ibu mempunyai hak sama seperti bapa untuk secara automatik memberikan kewarganegaraan Malaysia kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara.
“Mereka berjaya di Mahkamah Tinggi, tetapi kalah apabila kerajaan dahulu merayu keputusan itu,” kata Chee.
Mahkamah persekutuan ditetapkan untuk mendengar permohonan untuk membawa kes itu ke mahkamah tertinggi pada 14 Disember.– 8 Disember, 2022.