Iklan

Pengeluar tidak setuju Putrajaya import telur

Angie Tan2 years ago9th Dec 2022Berita
Eggs britain epa 100817
Presiden Gabungan Persatuan Pedagang Pelbagai Barangan Malaysia, Hong Chee Meng berkata penting bagi kerajaan untuk bincang dengan pengeluar telur dan apa yang boleh mereka buat agar dapat membantu mengatasi kekurangan bekalan. – Gambar EPA, 8 Disember, 2022.
Iklan

RANCANGAN Putrajaya untuk mengimport telur merupakan satu kesilapan, kata pengusaha industri.

Presiden Gabungan Persatuan Pedagang Pelbagai Barangan Malaysia, Hong Chee Meng memberi dua sebab utama kenapa langkah diumumkan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu baru-baru ini sebagai satu kesilapan.

Pertama, telur mempunyai jangka hayat terhad dan kesegarannya akan hilang apabila sampai di Malaysia, katanya.

Selain itu, kata Hong, telur import sudah pasti lebih mahal yang mana pengguna dalam golongan berpendapatan rendah tidak mampu membelinya.

Tambahnya, kerajaan baharu telah membuat kesilapan kerana tidak berbincang dengan pengusaha industri telur mengenai punca kekurangan itu.

“Penting bagi kerajaan untuk bincang dengan pengeluar telur dan apa yang boleh mereka buat agar dapat membantu mengatasi kekurangan bekalan tersebut,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemborong Telur Selangor Low Hin Ching berkata kekurangan bekalan yang berlarutan hampir setahun berikutan tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini menetapkan harga siling.

Beliau berkata harga siling telah menyebabkan penternak ayam mengalami kerugian kerana tidak dapat menampung kos pengeluaran yang tinggi.

“Ladang-ladang tidak boleh ditutup dan meninggalkan industri begitu sahaja. Jadi apa yang mereka buat ialah dengan memotong sementara pengeluaran untuk mengekang kerugian,” kata Low.

Itulah punca kekurangan telur di semenanjung, katanya.

Tambah Low, harga siling juga menyebabkan orang tengah dan pemborong mengalami kerugian.

Oleh kerana kebanyakan pengusaha telur di Semenanjung tertumpu di selatan, mereka terpaksa menanggung kerugian kerana perlu membaw atelur ke negeri di bahagian utara iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, katanya.

Low berkata kos pengangkutan tidak diambil kira apabila kerajaan memperkenalkan had harga.

“Pengeluar sudah tidak menghasilkan keuntungan, tetapi mereka masih perlu belanja lebih banyak wang untuk pengangkutan,” katanya, menjelaskan mengapa kekurangan di negeri-negeri ini lebih teruk berbanding di selatan.

Low berkata kegagalan pihak berwajib mengenal pasti masalah ini telah menyebabkan kerajaan baharu menuduh pemborong menyorok telur.

Tuduhan itu hanya menunjukkan kejahilan mereka terhadap situasi itu, katanya.

“Ia satu penghinaan kepada kami dan industri kami. Adakah mereka tahu telur tidak segar selepas tiga hari dan lebih-lebih lagi jika ia disimpan selama seminggu?”

Sementara itu, Hong berkata sesetengah ahli menyimpan stok berlebihan daripada yang diperlukan kerana bimbang tidak ada bekalan lagi.

“Peruncit biasanya menyimpan stok untuk selama dua hari.”

Tetapi dengan ketidaktentuan dalam bekalan, beberapa kedai menyimpan lebih banyak, katanya sambil menolak dakwaan menyorok bekalan dalam kalangan ahli.

“Mereka bimbang tentang gangguan bekalan. Kebimbangan gangguan bekalan akan menyusahkan perniagaan mereka.”

Presiden Persatuan Peniaga Kopi, Teh dan Pemilik Restoran Selangor, Lim Beng Hok berkata kebanyakan ahlinya memilih untuk menggunakan telur ayam kampung dalam usaha untuk mengatasi kekurangan itu.

“Mereka, bagaimanapun, kadangkala masih tidak mendapat bekalan yang mencukupi.

“Pengguna lain turut ambil telur ayam kampung.”

Pada 6 Disember lepas, Mohamad Sabu berkata kementeriannya telah mengenal pasti beberapa sumber luar bagi memenuhi keperluan telur negara.

“Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menyedari keperluan bekalan telur ayam yang merupakan makanan seharian berprotein yang popular di kalangan rakyat Malaysia dengan kadar penggunaan purata telur ayam sebanyak 968 juta biji sebulan.

“Inisiatif membawa masuk telur ayam dari sumber luar bukan untuk menekan pengusaha industri telur ayam tempatan, sebaliknya bagi memastikan bekalan telur ayam dalam Negara tidak terputus dan kebajikan rakyat terjaga,” katanya

Beliau berkata langkah itu akan dikaji semula apabila bekalan telur kembali stabil. – 9 Disember, 2022.

Iklan
Iklan