Subsidi bersasar hanya penyelesaian jangka pendek, kata pakar ekonomi
Iklan
SUBSIDI bersasar yang ditekankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk menangani kos sara hidup sukar dilaksanakan, dan usaha untuk merealisasikannya memerlukan penelitian serta kebijaksanaan mereka yang menggubal mekanisme itu, kata pakar ekonomi.
Pendekatan itu hanya berkesan untuk jangka pendek selagi masalah yang menyumbang kepada kos sara hidup tinggi tidak ditangani segera,tambah mereka.
Pakar kewangan Phua Lee Kerk memberitahu The Malaysian Insight, subsidi bersasar tidak akan berfungsi dengan baik jika kerajaan hanya memberi subsidi kepada golongan berpendapatan rendah.
“Saya berikan contoh, jika perniagaan misalnya bakeri tidak diberi sebarang subsidi, maka tiada gunanya memberi subsidi bersasar kepada golongan miskin kerana tiada jaminan harga roti tidak akan naik,” katanya.
Mengulas lanjut contoh tadi, Pua berkata oleh kerana kedai roti turut terbeban dengan kos bahan mentah import maka ini akan mendorong harga roti naik, lantas pemberian subsidi bersasar menjadi sia-sia.
“Tidak bermakna (subdisi bersasar). Tetap tidak akan membantu golongan B40,” jelas beliau.
Pua antara mereka yang percaya pemberian subsidi bersasar hanya berkesan untuk jangka pendek.
“Pendekatan jangka sederhana ke jangka panjang bagi mengurangkan kos sara hidup masih tentang bagaimana untuk meningkatkan pendapatan rakyat.
“Subsidi bukan langkah yang bagus. Perkara penting yang kerajaan perlu lakukan ialah merapatkan jurang antara golongan kaya dan miskin.
“Dalam erti kata lain Malaysia akan berada dalam keadaan baik apabila 70% hingga 80% rakyat tergolong dalam kelas pertengahan,” jelas Pua.
Katanya lagi, kos sara hidup yang tinggi ketika ini didorong oleh antaranya pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi dunia, juga perang Rusia-Ukraine yang mengganggu rantaian bekalan global.
Bagi Penasihat Persatuan PKS Johor Selatan Teh Kee Sin, kerajaan harus meletakkan keutamaan yang betul bagi mengurangkan kos sara hidup.
Selaku perdana menteri, Anwar katanya perlu memastikan politik negara stabil semula untuk menarik lebih ramai pelabur asing.
“Pelaburan asing akan mencipta banyak peluang pekerjaan. Apabila rakyat mempunyai kerja tetap dan gaji yang baik, maka kerajaan tak perlu memberi subsidi,“ulasnya.
Teh berkata, kestabilan nilai ringgit dan masalah tenaga buruh juga harus jadi keutamaan Anwar.
“Masalah tenaga buruh mesti diatasi segera. Pelabur asing tidak akan melabur kalau tiada pekerja. Jadi kerajaan perlu tangani isu ini,” jelasnya, menambah isu ini patut diselesaikan dalam tempoh tiga hingga enam bulan, atau paling lama setahun.
Menurut Teh, subsidi boleh dimansuhkan secara beransur-ansur atau digantikan dengan mekanisme lain yang sesuai untuk semua rakyat apabila ekonomi negara kembali pulih.
Sementara itu, Presiden Persatuan PKS Malaysia, Ding Hong Sing memberitahu The Malaysian Insight, masalah kos sara hidup yang tinggi akan selesai jika isu rantaian bekalan makanan dapat ditangani dengan baik.
“Mengapa harga ayam mahal? Kerana penternak beri ayam makan jagung import.
“Ringgit yang lemah menyebabkan makanan ayam yang diimport mahal,” katanya.
Kata Ding, banyak tanah yang terbiar di negara ini boleh digunakan untuk menanam jagung bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import makanan ternakan.
Pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 pada 27 November lalu Anwar berkata pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya.
Perdana menteri turut memberi tempoh dua minggu untuk jabatan dan agensi kerajaan meneliti dan memperincikan pelbagai isu berkait subsidi untuk rakyat.
“Saya memberi tempoh dua minggu untuk mencerakin serta menelusuri seluruh implikasi, dan berbincang dengan sektor swasta serta pelabur supaya mereka faham subsidi tujuannya ialah meringankan beban rakyat miskin,” katanya.
Jelasnya, golongan kaya dan industri besar tidak seharusnya mengambil manfaat daripada subsidi yang dikhaskan bagi membantu golongan susah. – 9 Disember, 2022.