Iklan

Polisi di negara sumber punca lewat kemasukan pekerja asing, kata Saifuddin

Kalidevi Mogan Kumarappa2 years ago9th Dec 2022Berita
Malaysia workers construction industry general pic july 2019  full  full
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata pihaknya mendapati polisi semasa di negara sumber itu mempengaruhi pergerakan keluar pekerja asing ke negara luar. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 Disember, 2022.        
Iklan

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) menjelaskan punca kelewatan ketibaan pekerja asing ke Malaysia ketika ini disebabkan polisi semasa di negara sumber.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata pihaknya mendapati polisi semasa di negara sumber itu mempengaruhi pergerakan keluar pekerja asing ke negara luar khususnya Malaysia.

Beliau berkata pihaknya difahamkan kelewatan proses membawa masuk pekerja asing juga tertakluk kepada keupayaan majikan dari segi kos dan perbelanjaan. 

“Majikan cenderung membawa masuk pekerja asing secara berperingkat bagi mengurangkan bebanan kos perbelanjaan yang tinggi terutama melibatkan kos penerbangan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Katanya mulai 1 Januari hingga 4 Disember lalu JIM menerima 403,869 permohonan membawa masuk pekerja asing.

Daripada jumlah itu katanya, kelulusan membawa masuk pekerja asing melalui Visa Dengan Rujukan (VDR) adalah sebanyak 373,459 orang. 

“Manakala baki sebanyak 30,410 orang sedang diproses dan akan dipertimbang untuk kelulusan dalam masa tujuh hari bekerja. 

“Daripada jumlah 373,459 VDR yang diluluskan hanya 254,677 orang pekerja asing atau 68 peratus sahaja yang tiba di negara ini untuk bekerja,” katanya.

Katanya setakat 30 November lalu jumlah pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) adalah seramai 1,391,624 membabitkan tujuh sektor pekerjaan.

Jelasnya lagi sektor perkilangan mewakili jumlah terbesar dengan 510,507 orang diikuti pembinaan (308,886), perladangan (160,728), perkhidmatan (208,425), pertanian (110,598), pembantu rumah asing (92,338) dan perlombongan (142).

Dalam perkembangan lain Saifuddin berkata beliau menyokong penuh usaha menstrukturkan semula perjawatan baharu di JIM dan ia boleh dilaksanakan tanpa implikasi kewangan.

“Kita mampu mewujudkan perjawatan baharu ini dengan memberi peluang kepada anggota dan pegawai yang sedang berkhidmat.

“Saya dimaklumkan sebahagian kumpulan sokongan itu mempunyai kelayakan yang tinggi tetapi jawatan yang disandang kini memerlukan kelayakan rendah,” katanya.

Katanya satu perbincangan kini sedang dilakukan antara Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam. – 9 Disember, 2022.        

Iklan
Iklan