Umno perlu paling kurang 3 tahun untuk kembali pulih, kata penganalisis
Iklan
UMNO akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga tahun untuk pulih daripada prestasi pilihan raya terburuk, walaupun ia telah memecat tiga pemimpin yang mengkritik kepimpinan parti semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata penganalisis.
Mereka berkata lebih ramai lagi dijangka akan dipecat menjelang pemilihan parti apabila presidennya Ahmad Zahid Hamidi mengukuhkan kepimpinannya setelah beliau kembali menjadi timbalan perdana menteri.
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Umno mungkin perlukan dua hingga tiga tahun untuk pulih daripada keputusan buruk pilihan raya.
Namun, parti itu ada peluang bangkit semula sebab ia kini sebahagian daripada kerajaan, katanya.
Pada Khamis, bekas ketua Umno Ketereh Annuar Musa dipecat oleh parti yang mana penganalisis berkata ramai lagi akan dibuang kerana mengkritik Ahmad Zahid.
Annuar antara tiga pemimpin bahagian yang dipecat oleh Majlis Kerja Tertinggi Umno, termasuk dua dua ketua sayap wanita, kerana berkempen melawan parti pada PRU15.
Dua pemimpin wanita bahagian yang dipecat dipercayai ketua Wanita Arau Shamsiah Yasin dan Ketua Wanita Umno Maran Fatimah Kassim.
Mereka sebelum ini digantung daripada parti pada 13 November kerana menyokong calon pilihan raya yang menentang parti.
Shamsiah adalah isteri kepada bekas ketua Umno Arau Shahidan Kassim manakala Fatimah isteri kepada bekas Ahli Parlimen Maran Ismail Abd Muttalib.
Suami mereka tidak dicalon semula untuk mewakili Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya lepas.
Mazlan berkata pemecatan Annuar sudah dijangka, menambah dua hingga tiga lagi individu berada dalam senarai untuk dipecat.
Beliau menyifatkan penyingkiran itu sebagai proses pembersihan selepas Umno kalah teruk dalam PRU15 kepada PAS dan Bersatu.
“Tidak menghairankan sebab Annuar sangat keras kepada partinya sendiri dan enggan mengikut barisan parti. Annuar berkempen untuk parti lawan dan secara terbuka mengutuk kepimpinan,” kata Mazlan.
“Beliau sepatutnya lebih tahu dan tidak boleh jangka yang Umno akan berdiam diri. Pada pendapat saya, akan ada satu atau dua lagi yang akan dipecat. Umno akan membersihkan parti sebelum pemilihan mereka,” kata ahli akademik itu.
“Jika mereka boleh buat kerja, terutamanya jika mereka boleh memenangi kepercayaan orang Melayu, Umno ada peluang untuk buat kemunculan semula.
“Lebih-lebih lagi ia kini sebahagian daripada kerajaan. Mereka perlu main peranan penting untuk tarik semula orang Melayu luar bandar,” kata Mazlan.
Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan semalam berkata parti sedang meneliti senarai ahlinya untuk diambil tindakan kerana terlibat menentang parti pada PRU15.
Pengarah program Iman Research Badrul Hisyam Ismail pula berkata Annuar tidak sekeras pemimpin lain dalam Umno yang selama ini menyerang Ahmad Zahid secara terbuka.
Walaupun beliau bersetuju Annuar bersuara tidak sealiran parti, Badrul berkata terdapat pihak lain yang membuat kenyataan yang dianggap merugikan parti.
“Ada yang lebih keras daripada Annuar tetapi belum ada tindakan, seperti Hishamuddin Hussein yang secara terbuka mengutuk Umno kerana mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
“Tetapi saya tidak terkejut dengan pemecatan Annuar. Ini adalah sebahagian daripada aturan yang akan berakhir pada pemilihan parti tahun depan,” kata Badrul.
Beliau juga meramalkan Umno mungkin merombak jawatan di peringkat negeri menjelang pemilihan parti.
“Jangan terkejut jika Umno memutuskan untuk menggantikan pemimpin negeri seperti Menteri Besar Johor Onn Ghazi yang telah mendesak Ahmad Zahid meletakkan jawatan.
“Ini boleh berlaku dan ini akan mengheret perbalahan dalaman Umno,” kata Badrul.
“Perbalahan dalaman akan berterusan di peringkat negeri, persekutuan dan parti. Pemilihan parti akan menjadi salah satu pemangkin. Satu lagi ialah pilihan raya negeri di Selangor, Kedah, Terengganu, Kelantan dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Umno memecat empat anggota yang bertanding menentang parti untuk kerusi parlimen pada PRU15 iaitu Shahidan (Arau), Ismail (Maran), dan Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), serta Adun Kuala Perlis Azhar Ahmad.
Kesemua mereka digugurkan oleh parti itu kerana menentang Ahmad Zahid yang enggan bekerjasama dengan Bersatu dan PAS di bawah panji Muafakat Nasional.
Pada Oktober, veteran Umno Zaharin Md Yassin dipecat daripada Umno.
Sementara itu, Prof Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Umno memutuskan untuk memecat pemberontak parti sekarang kerana tidak mahu menimbulkan lebih banyak masalah kepada parti pada bulan pemilihan.
Beliau berkata Umno boleh memecat Annuar dan yang lain lebih awal tetapi memilih untuk menangguhkan tindakan itu.
“Pemberontak ini sebenarnya punca Umno kalah kepada Bersatu dan PAS. Pemberontak mahu Bersatu dan PAS lebih dominan daripada Umno oleh itu mereka mahu Umno bekerjasama dengan PN.”
“Pemecatan tidak boleh dilakukan lebih awal kerana ia isu sensitif. Sekarang mereka boleh bersihkan parti dan buang pihak tertentu yang mahu menjadi sebahagian daripada PN.
“Umno mungkin perlukan enam hingga tujuh bulan untuk selesaikan masalahnya. Jika kem pro-Zahid menang dalam pemilihan parti, mereka boleh kawal naratif dan Umno boleh dapat semula kekuatan,” tambah Awang.
Susulan pemecatannya, Annuar melalui satu tulisan di Facebook berkata beliau sekarang hanya mampu melihat sebuah rumah pusaka yang terbakar, dipercayai merujuk kepada Umno.
“Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.
“Ketika api masih marak, dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba tiba saya ditarik keluar dari api yang membakar.
“Kini saya hanya mampu melihat kebakaran dari luar,” tulisnya, dalam satu hantaran yang disertakan gambar beliau berkempen semasa pilihan raya di Padang Serai. – 10 Disember, 2022.