Iklan

Ahli Parlimen Wangsa Maju gesa DBKL dedah pelan pembangunan

Noel Achariam2 years ago10th Dec 2022Berita
Zahir hassan dec 09,2022 afif 04
Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan berkata pihak berkuasa tidak boleh membenarkan peningkatan kepadatan sedangkan infrastruktur tidak dinaik taraf. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 10 Disember, 2022.
Iklan

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu lebih telus dalam pembangunan di bandar untuk manfaat penduduk, kata Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan.

Ahli Parlimen PKR itu berkata data berkaitan projek pembangunan besar di kawasannya dan sekitar bandar mesti didedahkan kepada semua pihak berkepentingan.

Beliau berkata penduduk perlu melihat data penilaian impak trafik (TIA), penilaian impak sosial (SIA) dan peningkatan kepadatan bagi projek.

“Untuk memaksimumkan keuntungan, pemaju akan meminta untuk meningkatkan kepadatan bagi projek mereka.

“Isunya jika mereka (DBKL) membenarkan peningkatan kepadatan maka majlis bandaraya perlu memastikan persekitaran projek itu dinaik taraf juga,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Zahir, 63, berkata semasa berkempen beliau menerima kira-kira 36 aduan pelbagai bentuk termasuk pembangunan, kepadatan dan tempat letak kereta yang tidak teratur.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak boleh membenarkan peningkatan kepadatan sedangkan infrastruktur tidak dinaik taraf.

“Penduduk telah meminta laporan TIA apabila ada projek pembangunan, tetapi tidak diberikan. Penduduk diberitahu maklumat itu tidak dapat diakses oleh mereka.

“Jika penduduk tidak dapat maklumat, bagaimana mereka hendak tahu skop projek itu.

“Apabila tidak dapat butirannya, barulah mereka menjadi bimbang dan mempunyai persepsi negatif terhadap pihak berkuasa.

“Ini perlu dihentikan. Contohnya TIA harus disediakan untuk penduduk di sini,” kata Zahir.

Beliau berkata rakyat tidak menentang pembangunan tetapi pihak berkuasa perlu lebih telus.

“Rakyat perlu diberi peluang untuk memberi maklum balas mereka dan ia sepatutnya menjadi situasi menang-menang untuk semua pihak berkepentingan. Saya akan semak dengan DBKL mengenai isu ini.”

Tambahnya, bagi negara maju, data dikongsi supaya masyarakat tahu apa yang berlaku.

“Tetapi, di sini ia perlu diubah, kerana kita perlu memastikan rakyat mendapat maklumat yang lebih baik dengan maklumat yang betul.

Zahir berkata beliau akan menghubungi Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan kerana dasar tertentu perlu ditangani di peringkat persekutuan.

Bagi isu tempat letak kereta yang menjadi larangan di seluruh bandar, katanya beliau akan menghubungi Tenaga Nasional Bhd untuk menukar kawasan lapang di bawah talian kuasa mereka kepada tempat letak kereta.

“Ini boleh membantu mengurangkan kesesakan jalan raya dan masalah tempat letak kereta.”

Mengenai bantuan kebajikan untuk rakyat, beliau mahu melihat pemberian secara berperingkat dan mencari program yang lebih mampan untuk membantu rakyat dengan menyediakan pendidikan bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Mengenai banjir, beliau berkata DBKL perlu melaksanakan syarat ketat kepada kontraktor dan pemaju bagi memastikan tiada banjir serius dengan mempunyai pasukan bertindak cepat yang lebih berkesan.

“Pembangunan di bandar juga boleh menyumbang kepada banjir kilat kerana itu, mereka (DBKL) perlu lebih berhemat seperti menyemak dan memantau syarat-syarat perintah pembangunan.

“Pemaju tidak seharusnya mengurangkan kos dan lebih bertanggungjawab.”

Bekas jurutera awam itu mempunyai tujuh anak dan 12 cucu. Beliau dilahirkan di Johor Baru dan kini menetap di Bukit Antrabangsa.

Zahir telah bersama PKR sejak 1999 berkhidmat dalam pelbagai jawatan. Beliau kini merupakan ketua setiausaha pengelola PKR dan ketua cabang Titiwangsa.

Dalam pertembungan enam penjuru pada pilihan raya umum ke-15, beliau memenangi kerusi itu dengan majoriti 20,696 undi.– 10 Disember, 2022.

Iklan
Iklan