Penganalisis yakin Kabinet Anwar mampu bertahan sehingga cukup penggal
Iklan
PERDANA Menteri Anwar Ibrahim memilih Kabinet yang seimbang dari segi peruntukan parti, komposisi geografi menteri dan timbalan menteri, dan perwakilan jantina serta etnik, kata penganalisis.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight komposisi itu sangat kukuh dan akan memudahkan ahli Parlimen Tambun itu menghadapi undi percaya di Dewan Rakyat apabila ia bersidang pada 19 Disember.
Malam tadi, Anwar mengumumkan senarai timbalan menteri dalam siaran langsung sebagai pelengkap kepada menterinya. Terdapat 27 timbalan menteri dalam kerajaan perpaduan Anwar.
Pengarah Eksekutif Ilham Center, Hisomuddin Bakar berkata Anwar cukup berani untuk mencadangkan nama baharu sebagai sebahagian daripada anggota Kabinetnya.
Beliau menambah Anwar menamakan beberapa ahli Parlimen yang berpangkalan di Sabah, termasuk seorang daripada Warisan, untuk meraikan pelbagai kumpulan etnik ahli Parlimen.
“Ia adalah komposisi yang bagus, agak seimbang pada pendapat saya kerana mempunyai wakil dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Lebih-lebih lagi, terdapat sebilangan kecil muka baharu dan muda serta ahli Parlimen kali pertama dilantik sebagai anggota Kabinet. Ia adalah peluang yang baik untuk mereka belajar,” kata Hisomuddin.
Ahli Geostrategi Dr Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata dengan komposisi etnik yang seimbang, kerajaan perpaduan Anwar mempunyai peluang lebih baik untuk melengkapkan tempoh penuh lima tahunnya.
“Dengan jumlah ahli Parlimen dari Semenanjung dan Borneo yang seimbang, Anwar boleh masuk ke Dewan Rakyat dengan penuh keyakinan.
“Ada faktor politik yang perlu dipertimbangkan oleh Anwar dan beliau melakukan kerja yang baik dalam mempertimbangkan nama barisan beliau. Kerajaan beliau boleh menghabiskan penggal sepenuhnya,” kata ahli akademik itu.
Tiada sebab Umno, DAP merungut
Dr Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berkata Anwar memberikan portfolio penting timbalan perdana menteri dan timbalan menteri kewangan kepada Umno.
DAP juga diberikan kerusi yang baik dalam Kabinet, katanya.
“Ahmad Maslan dan Shamsul Anuar (Nasarah) tidak sepatutnya merungut kerana masing-masing dilantik sebagai timbalan menteri kewangan dan pertahanan.
“Walaupun Lim Guan Eng tidak dinamakan dalam Kabinet, DAP diwakili melalui Ramkarpal Singh (timbalan menteri undang-undang), Teo Nie Ching (timbalan menteri komunikasi digital), Liew Chin Tong (timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri) dan Lim Hui Ying (timbalan menteri pelajaran).
“Ahli Parlimen Sabah juga tidak ketinggalan. Secara keseluruhannya, keseimbangannya betul dan agak bagus di atas kertas. Ini adalah kerajaan perpaduan,” kata Mazlan.
Semalam, Anwar mengumumkan Ahli Parlimen Pontian Ahmad Maslan daripada Barisan Nasional (BN) dan Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim daripada Pakatan Harapan (PH) sebagai timbalan menteri kewangannya.
Beliau turut menamakan Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal sebagai timbalan menteri undang-undang, manakala Ahli Parlimen Iskandar Puteri Liew Chin Tong, yang merupakan timbalan menteri pertahanan dalam kerajaan PH sebelum ini, akan menjadi timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
Ahli Parlimen kali pertama dan Ketua Pemuda PKR Adam Adli Abd Halim dinamakan sebagai timbalan menteri belia dan sukan.
Dari Sabah, Arthur Joseph Kurup yang memenangi kerusi Pensiangan, dilantik sebagai timbalan menteri sains, teknologi dan inovasi.
Sebanyak 27 timbalan menteri itu akan mengangkat sumpah pada pukul 3 petang hari ini.
Pada 2 Disember, Anwar menamakan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang daripada dua timbalan perdana menteri dan seorang lagi Fadillah Yusof daripada Gabungan Parti Sarawak.
Dalam langkah mengejut, perdana menteri turut melantik Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang kalah dalam perebutan kerusi Parlimen Kuala Selangor, ke Kabinet sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri.
Beliau melantik Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail, yang gagal mempertahankan kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu, sebagai menteri dalam negeri.
Setiausaha Agung BN Zambry Abd Kadir, yang gagal memenangi kerusi Parlimen Lumut menjadi menteri luar.
Mereka dilantik sebagai senator untuk membolehkan pelantikan dibuat. – 10 Disember, 2022.