Iklan

Pendidikan percuma bakal lahirkan pelajar tak kenang budi, kata pensyarah

Yasmin Ramlan7 years ago9th Mar 2018Berita
Dr Rosemaliza Mohd Kamalludeen
Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Rosemaliza Mohd Kamalludeen berkata, pelaksanaan itu merupakan rancangan yang baik dan tidak mustahil tetapi ia memerlukan jangka masa yang panjang dan bukan sekelip mata sahaja. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Mac, 2018.
Iklan

JANJI untuk memberikan pendidikan percuma bukan sahaja mustahil dalam keadaan ekonomi dan budaya sekarang, malah ia juga akan melahirkan pelajar yang tidak akan menghargai ilmu, kata sekumpulan pensyarah universiti awam.

Beberapa pensyarah memberitahu The Malaysian Insight yang pelajar Malaysia sebenarnya tidak bersedia untuk menerima pendidikan percuma, yakni salah satu janji Pakatan Harapan (PH) melalui manifestonya jika pembangkang dapat mengambil alih Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Semalam, dilaporkan PH yakin dapat melaksanakan 10 janji jika berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan salah satunya adalah menyediakan pendidikan percuma.

Bagi pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Rosemaliza Mohd Kamalludeen, rakyat perlu ada mentaliti menghargai pemberian itu sebelum ia dilaksanakan.

“Pada pandangan saya, benda itu (pendidikan percuma) itu baik. Tidak mustahil, cuma memerlukan jangka masa yang panjang.

“Kalau kita bagi percuma, nanti orang tak nak datang kelas pula sebab dia (pelajar) tak ada bayar apa-apa. Tak ada komitmen,” kata pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Dr Rosemaliza Mohd Kamalludeen.

“Tapi bila dia tahu dia kena berusaha keras sebab dia dah letakkan satu jenis pelaburan di situ.”

Katanya, idea pendidikan percuma itu bagus namun ia memerlukan jangka masa panjang untuk dilaksanakan, bukan dalam sekelip mata sahaja.

“Kita kena ubah budaya bila dapat percuma ni, kita boleh buang-buang begitu sahaja. Jadi kita tak naklah letakkan pendidikan pada tahap yang begitu.

“Perlu ada nilai yang tinggi dalam pendidikan. Itu kita kena faham,” katanya ketika ditemui selepas Dialog Universiti-Industri bersama Menteri Pendidikan Tinggi Idris Jusoh semalam.

PH dijangka melancarkan manifestonya lewat hari ini, yang mana akan menyenaraikan dasar yang akan dilaksanakan dalam penggal pertama jika menang PRU14.

Antara yang diketengahkan dalam janjinya ialah pendidikan percuma untuk semua universiti awam.

Seorang lagi ahli akademik Dr Nurul Adilah Abdul Latiff, 38, berkata apa yang dibayar oleh pelajar di universiti awam pada masa ini adalah sangat minima.

“Pendidikan percuma kita kena tengok dari segi harga sesebuah ilmu itu sebab kita tahu sebenarnya ilmu sangat berharga. Ia tidak boleh dinilai dengan wang ringgit.

“Jadi di Malaysia sendiri apa yang pelajar-pelajar bayar sekarang adalah sangat minimum compare to whatever the universities can give,” kata pensyarah dari Universiti Putra Malaysia (UPM) itu.

Nurul Adilah berkata, Malaysia tidak patut dibandingkan dengan negara embangun lain yang menyediakan pendidikan percuma kerana cukai yang dibayar rakyat lebih rendah berbanding negara itu.

Meskipun pelajar universiti awam hanya perlu membayar bayaran yuran yang rendah, namun sebelum ini Ketua Pengarah Imigresen Mustafar Ali dilaporkan berkata, lebih separuh daripada 622,768 rakyat Malaysia yang dilarang ke luar negara sejak 2010 merupakan peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pada Ogos tahun lalu, peminjam PTPTN merungut dan menggesa badan itu supaya menghapuskan caj pentadbiran hutang dan menyifatkan caj 1% hingga 3% itu sebagai amalan riba serta meningkatkan jumlah hutang sekiranya mereka gagal membayar ansuran yang sepatutnya.

Dr Haliyana Khalid dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut memberi amaran yang tawaran pendidikan percuma itu tidak boleh dilakukan tanpa perancangan betul.

“Perlu penelitian dan perancangan yang lebih sebelum dilaksanakan sebab mungkin banyak cabaran.

“Kita ada banyak faktor perlu lihat. Kita tidak boleh ambil contoh dari negara maju sajakan? We have to look at out own perspective, own surroundings - keadaan semasa negara kita juga.

“Memang semua orang mahukan pendidikan percuma kan? Tetapi, kena tengok keadaan kita juga,” katanya.

Manifesto PH juga antara lain menyentuh mengenai pengurangan beban PTPTN dengan melaksanakan penagguhan pembayaran individu berpendapatan bawah RM4,000 dan menghapuskan dasar senarai hitam. – 9 Mac, 2018.

Iklan
Iklan