Iklan

Status 4 ahli Parlimen Bersatu Sabah tidak menentu

Alfian Z.M. Tahir2 years ago12th Dec 2022Berita
50299173878 532f871f58 c
Empat ahli Parlimen Bersatu Sabah melanggar Akta Antilompat Parti yang dikenakan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, di mana mereka perlu mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil, kata Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2022.
Iklan

KEDUDUKAN empat ahli Parlimen Sabah yang keluar daripada parti Bersatu tetapi memilih untuk kekal dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kekal dalam keadaan tidak menentu dengan pakar menawarkan pandangan berbeza mengenai perkara itu.

Walaupun seorang peguam kanan berkata mahkamah akan menjadi platform terbaik untuk menentukan sama ada keempat-empat mereka melanggar akta anti-lompat parti, seorang penganalisis politik menawarkan hujah balas.

Peguam kanan Haniff Kathri Abdulla berkata, kegagalan itu disebabkan cara terburu-buru undang-undang anti-lompat parti dibentangkan dan digubal sewajarnya.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga percaya empat ahli Parlimen itu melanggar Akta Antilompat Parti yang dikenakan di bawah Perkara 49A Perlembagaan Persekutuan, di mana mereka perlu mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada pilihan raya kecil.

Bagaimanapun penganalisis politik Wong Chin Huat berpendapat sebaliknya.

Beliau berkata undang-undang anti-lompat parti tidak terpakai dalam kes ini kerana ahli Parlimen Bersatu bertanding dan menang di bawah tiket GRS, dan mempunyai rancangan untuk kekal dalam gabungan GRS.

Katanya, tidak ada pembelotan terhadap parti yang mereka tandingi.

Isunya ialah keputusan Ketua Menteri Sabah Hajiji Mohd Noor, yang juga pengerusi GRS meninggalkan Bersatu Sabah dan wakil rakyat mereka yang dipilih menjadi ahli langsung gabungan GRS.

Ini akan melibatkan 14 wakil rakyat Bersatu negeri di Sabah tetapi mereka tidak akan melanggar undang-undang anti-lompat parti kerana DUN Sabah masih belum menerima pakai undang-undang itu.

Bagaimanapun undang-undang baharu yang berkuat kuasa pada 5 Oktober lepas akan memberi kesan kepada ahli Parlimen yang berpaling tadah, dan di sinilah status empat ahli Parlimen itu dipersoalkan.

“Undang-undang anti-lompat akan sentiasa menjadi isu kerana cara ia dibentangkan dan digubal. Ada sesetengah pihak mencadangkan undang-undang itu digubal orang luar yang berkecuali tetapi perkara itu tidak berlaku,” kata Haniff.

“Ia dilakukan secara tergesa-gesa, kerajaan angkuh untuk meluluskan undang-undang tanpa kajian yang betul.

“Penyelesaian terbaik ialah membiarkan mahkamah membuat keputusan dan ia harus dibawa ke mahkamah. Jika kerajaan merendah diri dan bersedia membenarkan ahli akademik, penyelidik, peguam dan hakim bersara menggubal undang-undang, kami tidak akan berada di sini untuk membincangkan perkara itu,” tambahnya.

Pengerusi GRS, Hajiji Noor mengumumkan semua pimpinan Bersatu negeri itu sebulat suara keluar dan meninggalkan parti berkenaan tetapi tetap bersama di bawah GRS. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Disember, 2022.

Empat Ahli Parlimen Bersatu yang bertanding di bawah tiket GRS ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Matbali Musah (Sipitang), Armizan Mohd Ali (Papar) dan Jonathan Yassin (Ranau).

Muhyiddin berkata, kedudukan empat ahli Parlien itu akan ditentukan berdasarkan undang-undang anti-lompat parti mengikut artikel 49A Perlembagaan Persekutuan.

Undang-undang melarang ahli Parlimen daripada meninggalkan parti, dan jika mereka berbuat demikian, kerusi mereka akan dikosongkan secara automatik.

Bagaimanapun, terdapat tiga pengecualian: pembubaran atau pembatalan pendaftaran parti politik; pemecatan ahli politik itu daripada partinya; atau ahli politik yang meletakkan jawatan daripada partinya apabila menjadi speaker Dewan Rakyat atau DUN.

Akta antilompat parti tidak terpakai pada 4 ahli Parlimen Sabah

Sementara itu, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berpendapat undang-undang anti lompat tidak terpakai ke atas empat ahli Parlimen itu selagi mereka berada di bawah gabungan GRS.

“Undang-undang anti lompat ini mengawal mereka yang ‘dipilih ke Dewan Rakyat sebagai ahli parti politik’,” katanya.

Malah, katanya keempat-empat mereka bertanding atas tiket GRS, dan bukan Bersatu.

“Bersatu Sabah dan STAR sudah lama merancang untuk mempunyai keahlian dua parti dalam GRS dan PN, dan hanya bertanding sebagai GRS. Selagi mereka berada dalam GRS, undang-undang ini tidak terpakai kepada mereka,” kata ahli akademik itu.

Ahli Parlimen Bersatu yang lain di Sabah, Ronald Kiandee bertanding atas tiket Bersatu dan bukannya GRS.

Kedudukan politik GRS adalah unik kerana semasa ia sebahagian daripada Perikatan Nasional di Sabah, di peringkat persekutuan, ia menyokong kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim.

Kini, wakil rakyat Bersatu Sabah memutuskan untuk meninggalkan parti tetapi kekal dalam GRS supaya mereka boleh terus menyokong Anwar di peringkat persekutuan tanpa berada di kem lain di peringkat negeri.

Selain GRS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) akan meninggalkan Perikatan Nasional (PN), kata presiden parti Dr Jeffrey Kitingan, sambil menambah pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat.

Awal minggu ini, timbalan ketua menteri Sabah itu berkata langkah tersebut dibuat memandangkan STAR, yang kini menyokong kerajaan perpaduan, tidak sehaluan dengan PN.

Blok GRS menempatkan Bersatu Sabah, Star, Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO). – 12 Disember, 2022.

Iklan
Iklan