Iklan

PKR Sarawak susah bangkit walau Anwar kini PM, kata penganalisis

Desmond Davidson2 years ago14th Dec 2022Berita
49933207598 73c32a4cf4 b (10)
PKR kalah semua 28 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri Sarawak 2021. Pada 2016, PKR Sarawak cuma menang tiga kerusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Disember, 2022.
Iklan

PERUBAHAN landskap politik negara, selain kenyataan yang Anwar Ibrahim kini perdana menteri mungkin tidak banyak membantu memulihkan nasib PKR Sarawak, kata penganalisis.

Walaupun benih ketakutan telah disemai dalam kalangan beberapa pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS), penganalisis nampaknya tidak yakin PKR Sarawak dapat bangun semula dalam masa terdekat ini dari kemelut politik yang menghantui mereka sejak dua tahun lalu.

Apatah lagi untuk menjadi parti penting dalam pilihan raya akan datang, kecuali jika ada perubahan besar dibuat, kata mereka.

“Saya percaya sudah wujud ketakutan dalam GPS, terutamanya dalam PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) yang telah mendominasi pentas politik Sarawak sejak 1970,” kata penganalisis politik Universiti Putra Malaysia, Jayum Jawan.

“PKR tulang belakang kerajaan persekutuan dan dengan Anwar kini perdana menteri, ia boleh mengubah nasib PKR Sarawak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakar politik Universiti Malaya Awang Azman Awang Pawi turut bersetuju dengan pandangan Jayum.

“PKR Sarawak perlu ambil kesempatan dengan kedudukan Anwar sekarang jika mahu kukuhkan dan naikkan semula nama parti itu di Sarawak,” katanya.

Salah satu caranya, tambah beliau, adalah dengan melibatkan diri secara aktif dalam program kerajaan persekutuan yang sedang dilaksanakan di Sarawak.

“Dengan aktiviti seperti ini, ia dapat menarik perhatian masyarakat setempat dan membuktikan PKR juga boleh berkhidmat dengan baik jika diberi peluang dan ruang.”

Bagaimanapun, Jayum dan James Chin dari Universiti Tasmania merasakan PKR Sarawak perlukan masa yang lama untuk pulih.

Parti itu kalah semua 28 kerusi yang ditandingi pada pilihan raya negeri Sarawak 2021. Pada 2016, PKR Sarawak cuma menang tiga kerusi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, ia cuma menang satu kerusi, mengekalkan Miri, berbanding empat kerusi iaitu Puncak Borneo, Saratok, Selangau dan Miri, yang dimenangi parti itu pada PRU14.

Chin berkata beliau tidak was-was yang PKR Sarawak akan mengeksploitasi keadaan dengan memberitahu orang ramai ia kini sebahagian daripada kerajaan persekutuan untuk mengukuhkan kedudukan mereka.

Itu, bagaimanapun, kata Chin, tidak akan banyak membantu parti itu yang sudah teruk.

“Masalah mereka jauh lebih besar. Mereka langsung tidak ada pemimpin yang jelas dan terkemuka sejak Baru Bian keluar,” kata Chin merujuk kepada bekas pengerusi PKR Sarawak yang pernah menjadi Adun Ba Kelalan dan ahli Parlimen Selangau sehingga dipecat pada Januari tahun lepas.

Chin berkata PKR Sarawak sejak itu sukar untuk mencari pemimpin yang setaraf dengan Baru dan “yang mewakili jenama PKR di Sarawak”.

Pada masa ini, pengerusi negeri itu ialah peguam Roland Enggan yang kalah tiga kali pada PRU 2013, 2018 dan PRU15.

“Mencari pemimpin yang hebat yang boleh bawa mereka ke pilihan raya akan datang adalah perkara yang paling penting.

“Selagi tidak jumpa pemimpin (bagus) seperti itu, apa sahaja yang mereka buat akan jadi sangat susah,” kata Chin. – 14 Disember, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan