Agensi pekerja asing mahu proses lebih cepat
Iklan
AGENSI pekerjaan mahu kerajaan memperkemas proses pengambilan dan pendaftaran pekerja asing bagi menjamin kelulusan yang lebih cepat.
“Ia tidak cukup lancar dan prosesnya mengambil masa yang terlalu lama,” kata presiden Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia Foo Yong Hooi.
Foo berkata, sejak sekatan Covid-19 ditarik balik, sistem lapuk itu terganggu kerana dibanjiri dengan banyak permintaan untuk mengambil pekerja asing.
Presiden Persatuan Kebangsaan Agensi Pekerjaan Malaysia, Fiona Low berkata proses pengambilan pekerja terhalang disebabkan terlalu banyak kerenah birokrasi.
“Terdapat terlalu banyak peraturan untuk dipatuhi,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Foo berkata, pengambilan pekerja domestik Indonesia adalah “proses yang kompleks dan mempunyai tiga peringkat.”
“Terlebih dahulu bakal majikan perlu mengemukakan permohonan kepada Kementerian Sumber Manusia dan kedutaan Indonesia sebelum mengemukakannya kepada Jabatan Imigresen.”
Pihak berkuasa itu mengambil masa yang lama untuk menjawab permohonan, katanya.
Sebaliknya, Foo berkata adalah lebih mudah untuk mengupah pembantu rumah Filipina.
“Kami menyerahkan permohonan terus kepada Jabatan Imigresen dan kemudian kedutaan Filipina. Itulah proses penuh.”
Low berkata, lebih sukar untuk merekrut warga Indonesia sekarang kerana perselisihan antara Putrajaya dan Jakarta mengenai layanan terhadap pembantu rumah di Malaysia.
Proses itu bukan satu-satunya masalah, katanya.
Gaji pembantu rumah Indonesia melambung tinggi untuk menjadikannya setanding dengan pembantu rumah Filipina, katanya.
Low berkata susulan itu, lebih ramai orang mengupah warga Filipina.
Pada Julai, Indonesia bertindak menyekat rakyatnya bekerja di Malaysia atas dakwaan mereka melanggar memorandum persefahaman mengenai pekerjaan dan perlindungan pembantu rumah Indonesia.
Pembekuan itu ditarik balik pada 1 Ogos.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan Menteri Buruh Indonesia Ida Fauziyah dan menteri sumber manusia Malaysia M Saravanan menyatakan Malaysia dan Indonesia bersetuju untuk mengintegrasikan sistem pengambilan mereka.
Walaupun permintaan terhadap pekerja asing itu dilaporkan semakin berkurangan, Foo berkata proses pengambilan pekerja yang lebih lancar akan membolehkan lebih banyak sektor layak mendapat buruh asing.
“Kilang besar sudah menyelesaikan masalah tenaga kerja mereka. Hanya kilang dan restoran kecil yang masih mencari pekerja asing.
“Ramai daripada mereka tidak tahu bagaimana untuk melakukannya. Kebanyakannya terkandas di peringkat awal kerana gagal memenuhi kriteria tertentu.”
Hanya sektor pembinaan, pertanian, perladangan, pengeluaran dan perkhidmatan dibenarkan mengambil pekerja asing.
Kira-kira 300,000 permohonan untuk mengupah warga asing diluluskan baru-baru ini. – 16 Disember, 2022.