Iklan

Menteri kata harga barang keperluan di Malaysia murah berbanding negara jiran

Yasmin Ramlan7 years ago8th Mar 2018Berita
Hamzah zainudin kpdnkk tmikamal 01
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Hamzah Zanudin berkata, harga barangan keperluan asas seperti gas memasak, minyak masak, gula dan tepung lebih murah kerana dikawal oleh kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2018.
Iklan

MENTERI Umno, Hamzah Zainuddin berkata usaha kerajaan untuk menangani kos sara hidup dapat dilihat dengan membandingkan harga barangan di negara ini dengan negara jiran lain dalam Asean.

Menteri perdagangan dalam negeri, koperasi dan kepenggunaan itu berkata, harga barangan keperluan asas seperti gas memasak, minyak masak, gula dan tepung lebih murah kerana dikawal oleh kerajaan.

Dalam jawapannya di Dewan Rakyat hari ini, Hamzah berkata, kawalan ke atas harga barangan ini begitu baik jika dibandingkan dengan negara Asean yang lain.

“Pertama, barang-barang keperluan asas, kita ambil (seperti) harga ayam dan daging. Kita bandingkan dengan seluruh negara Asean.

“Saya nak jelaskan di sini supaya (Yang Berhormat) sedar bahawa kerajaan hari ini (adalah) kerajaan yang memang tahu untuk bela rakyat terutamanya kos sara hidup yang penting dalam negara kita,” katanya.

Hamzah menjawab soalan G Manivannan (PKR – Kapar) yang menuntut beliau menjelaskan langkah kementerian dalam memantau kawalan harga bagi memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan.

Manivannan juga meminta beliau menyatakan komitmen kerajaan untuk mengawal harga barang dan memastikan harga barang dalam tahap yang terkawal.

“Singapura 52,962USD, KDNK per kapita, Malaysia hanya 9,463. Kedudukan KDNK per kapita di Asean, kita nombor tiga, nombor satu Singapura, kedua Brunei.

“Tapi daripada keseluruhan harga barang, dengan strategi kerajaan  buat, sepatutnya kita begitu bangga kerana harga barang di Singapura 70% lebih tinggi dari kita, Brunei 71% lebih tinggi, Thailand 23% lebih tnggi walaupun hanya 6000USD per kapita, Indonesia 3,599 USD, harga barang, 43% lebih mahal, Philippines 3016 76% lebih tinggi, Laos 2,400 harga 59% lebih tinggi,” katanya.

The Malaysian Insight sebelum ini melaporkan, pakar ekonomi berkata bahawa kenaikan harga makanan dan perkhidmatan disebabkan gabungan nilai ringgit, inflasi dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada 2014, melemahkan kuasa beli sebenar isi rumah.

Menurut Laporan Jabatan Statistik Gaji dan Upah 2016, upah median bagi rakyat Malaysia hanya naik sebanyak 3% antara 2015 dan 2016.– 8 Mac, 2018.

Iklan
Iklan