Saya mangsa janji kosong Pakatan, kata Hishamuddin
Iklan
NAIB Presiden Umno Hishamuddin Hussein menyelar kerajaan negeri Selangor yang diketuai PKR berhubung isu air di negeri itu.
Beliau berkata gabungan pembangkang itu gagal menunaikan janji pilihan rayanya untuk menyediakan air percuma di negeri berkenaan.
“Meraka janji menyediakan air percuma di Selangor, tetapi mereka tak dapat tunaikan,” katanya kepada pemberita di Parlimen hari ini.
“Malah di rumah saya tidak ada air. Saya adalah mangsa janji kosong mereka. Saya adalah menteri pertahanan.”
Kerajaan negeri Selangor menyediakan 20 meter padu air percuma kepada penduduk, namun ramai dalam kalangan mereka yang tinggal di rumah jenis pangsa tidak dapat menikmati keistimewaan itu ekoran masalah untuk menukar meter pukal kepada meter individu.
Hishamudin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tawaran PH Johor untuk menyediakan air percuma jika berjaya merampas negeri tersebut dalam pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata rakyat Johor tidak harus termakan dengan janji kosong pembangkang.
“Kelebihan yang ada pada kita sekarang adalah, mereka tidak dapat menunaikan janji mereka, jadi bagaimana kita mahu percaya apa yang akan dibentangkan mereka hari ini?”
PH akan melancarkan manifesto PRU14 di Shah Alam hari ini. – 8 Mac, 2018.