Pakatan berdepan laluan sukar di 6 PRN tahun depan, kata wakil rakyat
Iklan
JIKA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) digunakan untuk menjadi kayu pengukur peluang Pakatan Harapan (PH) pada enam pilihan raya negeri (PRN) tahun depan, gabungan pemerintah itu mungkin kekal di Pulau Pinang, tetapi berdepan laluan sukar di Selangor dan Negeri Sembilan, kata wakil rakyat PH.
Bagaimanapun, mereka tidak menolak sebarang peluang PH untuk menewaskan Perikatan Nasional (PN) di Terengganu, Kelantan dan Kedah.
Kabangkitan PAS dan “tsunami hijau” tercetus pada PRU15, keputusan dua pilihan raya tertangguh kerana kematian calonnya iaitu di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman – menunjukkan PN kuah di negeri yang dominan dengan pengundi Islam.
Exco Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata ada sedikit kebimbangan untuk PH di Selangor dan Negeri Sembilan kerana ia hilang beberapa kerusi pada PRU15, tewas kepada PN dan Barisan Nasional (BN).
Untuk membayangkan apa bakal dihadapi PH di Negeri Sembilan, Adun DAP Bukit Kepayang itu berkata daripada lapan kerusi Parlimen di negeri itu, PN menang lima sementara Umno dapat tiga kerusi.
Selain itu, Tan berkata ancaman terbesar PH di Negeri Sembilan ialah rakan kerjasamanya dalam kerajaan perpaduan iaitu BN, bukannya PN yang juga pembangkang.
Beliau bagaimanapun berkata pasti ada jalan penyelesaian untuk menangani ancaman itu.
“Kita hanya perlu berunding dengan Umno. Jika kita boleh bersetuju untuk berkongsi kerusi sebelum PRN dan dapat apa yang masing-masing mahukan, semua akan baik-baik saja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Tan berkata ia tidak mustahil boleh berlaku memandangkan BN dan PH bersetuju membentuk kerajaan di Perak dan Pahang susulan tiada parti atau gabungan yang dapat majoriti mudah pada PRN itu.
Beliau berkata jika rundingan perkongsian kerusi itu gagal, kerjasama dalam bentuk lain boleh dirangka selepas pilihan raya.
Tan mengambil tindakan awal dalam usaha mempertahankan kerusinya dengan mengadakan interaksi langsung bersama pengundi menerusi Facebook.
“Menerusi strim langsung, pengundi boleh bertanya soalan secara langsung kepada saya.”
Pengerusi PN Negeri Sembilan Eddin Syazlee Shith dalam temubual sebelum ini berkata gabungan pembangkang itu menyasarkan menang 19 kerusi daripada 36 kerusi DUN untuk membentuk kerajaan negeri baharu.
Eddin mengakui sasaran itu tinggi tetapi ia tidak mustahil untuk dicapai.
Beliau berkata PRU15 dan kemenangan PN di Padang Serai menunjukkan sasaran itu tidak mustahil.
Di Selangor, Adun Rawang Chua Wei Kiat berkata PH mungkin berdepan kesukaran di kawasan luar bandar walaupun sudah mentadbir negeri itu sejak tiga penggal lalu iaitu 2008.
“Saya tidak fikir ia terlalu awal untuk membentuk beberapa kesimpulan kerana situasi sekarang berbeza daripada sebelum ini,” kata Chua.
“PH sekarang adalah sebahagian kerajaan persekutuan dan pencapaian dalam kerajaan di Putrajaya akan mempengaruhi cara pengundi Selangor memilih.”
Chia yang yakin PRN akan diadakan dalam tempoh enam bulan akan datang, berkata pengundi tidak sepatutnya takut dengan kerajaan PH.
“Dengan PH mentadbir kerajaan negeri sejak lebih 10 tahun lalu, pengundi sepatutnya sudah biasa dengan pencapaiannya.”
Timbalan pengarah komunikasi PKR itu berkata pasca PRU15 mendapati berita palsu dan khabar angin banyak membentu pemikiran rakyat.
“Ini menunjukkan mengapa penting untuk kita mengukuhkan kelemahan kita dalam perang media sosial bagi menangani berita palsu dan penipuan pada PRN akan datang.”
Pada PRU14, PH menang 51 daripada 56 kerusi di Selangor, dengan BN menang empat dan PAS satu.
Walaupun PH terjejas akibat tindakan wakil rakyat Bersatu dan PKR keluar parti menerusi Langkah Sheraton, PH masih kekal dengan majoriti kerusi di DUN.
Adun Balakong Wong Siew Ki berkata PH sepatutnya kekal selesa di Selangor kerana gabungan itu masih mendapat sokongan padu.
Wong berkata apa yang kerajaan PH perlu lakukan ialah mengekalkan dasar sedia ada yang membawa manfaat kepada rakyat negeri ini.
Apa yang membimbangkan, katanya ialah PN mula mendapat sokongan menerusi isu kaum dan agama yang dibawanya.
“Kita boleh lihat perkara itu berlaku pada PRU15. Sepanjang tiga penggal, kerajaan negeri Selangor tidak menggunakan isu kaum dan agama dalam meningkatkan ekonomi dan kehidupan rakyat.
“Masalah ini perlu kita selesaikan.”
Wong yang juga setiausaha publisiti DAP Selangor berkata lebih banyak pendidikan politik perlu dijalankan terutama dalam kalangan pengundi muda yang kali pertama mengundi.
“Kami mendapati ramai pengundi kali pertama tidak tahu kepentingan mengundi dan kuasa yang mereka ada untuk membawa perubahan kepada kerajaan.”
Wong berkata antara cara yang boleh dilakukan ialah menerbitkan lebih banyak video pendek untuk dimuat naik ke Internet supaya pengundi muda boleh menjadikan ia sebagai rujukan.
Ketika Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober bagi memberi laluan kepada PRU15 diadakan, enam negeri memutuskan untuk tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya kerusi Parlimen. – 17 Disember, 2022.