Aktivis mahu parti tawar jaminan keadilan, keselamatan untuk wanita
Iklan
AKTIVIS wanita mendesak agar parti yang mahu membentuk kerajaan dalam pilihan raya akan datang mengutamakan usaha memelihara keadilan sosial dan keselamatan kaum hawa.
Aktivis politik, Marina Mahathir berkata jaminan keselamatan perlu diutamakan kerana wanita yang memperjuangkan isu hak asasi, khususnya Muslim, masih lagi diancam persekitaran berbahaya.
“Pihak berkuasa mesti mengubah sikap ini di kalangan pihak kerajaan dan orang awam.
“Wanita adalah 50% daripada rakyat Malaysia dan juga pengundi. Kita tidak perlu Tahun Memperkasa Wanita yang menjadi cakap kosong sahaja,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau merujuk kepada inisiatif Tahun Memperkasa Wanita yang menurut kerajaan dianjurkan untuk menyediakan kaum wanita bagi menghadapi cabaran ekonomi masa kini.
Beberapa aktivis seperti Siti Kassim, Noor Farida Mohd Ariffin (Kumpulan G25), peguam Ambiga Sreenevasan dan bekas pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin menjadi sasaran sebelum ini akibat membangkitkan isu hak asasi wanita.
Ada di kalangan tokoh ini menerima ugutan bunuh, rogol dan juga serangan asid, hanya disebabkan kelantangan mereka mengulas isu tertentu melibatkan kepentingan kaum wanita.
Data yang dikemukakan kerajaan menunjukkan kes keganasan terhadap wanita tetap tinggi.
Pada tahun 2015, sebanyak 667 kes dilaporkan dan Selangor menunjukkan jumlah kes tertinggi dengan 172 kes, diikuti Kuala Lumpur (96) dan Pulau Pinang (73).
Menurut peguam, Fadiah Nadwa Fikri, ketidakadilan sosial yang banyak memberi kesan kepada wanita adalah berkaitan gaji, penindasan di tempat kerja, jagaan kesihatan serta kekerasan seksual.
“Ia banyak menekan wanita dan memberi kesan buruk kepada seluruh masyarakat. Harapan saya terletak kepada masyarakat untuk sama-sama bangkit dalam menuntut isu-isu keadilan sosial dimartabatkan,” katanya.
Bagi bekas pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin, satu cara untuk mengatasi masalah keganasan wanita adalah penyediaan pendidikan seks secara komprehensif sejak di bangku sekolah mahupun universiti.
“Pihak berkuasa perlu beri pendidikan seks di sekolah dan universiti. Perkara ini penting untuk jangka masa panjang bagi mengubah persepsi mengenai keganasan (terhadap wanita),” kata Maria.
Pengaruh wanita dalam politik
Menurut Pengarah Eksekutif Pusat Membanteras Rasuah dan Kronisme, (C4) Cynthia Gabriel pula, cara untuk mengatasi isu berkaitan wanita adalah dengan meningkatkan penyertaan pemimpin wanita dalam politik.
“Dalam pilihan raya akan datang, bagi saya isunya bukan setakat kuota penglibatan wanita tetapi juga akses pendidikan, maklumat dan juga diskriminasi (dalam) memegang jawatan yang tinggi,” katanya lagi.
Katanya sudah terlalu ramai pemimpin lelaki mendominasi proses penggubalan undang-undang dan juga pentadbiran kerajaan.
“Mereka perlu memberi penghormatan dan menilai pemimpin wanita dengan baik tidak kira sama ada politik mahupun perkhidmatan awam,” katanya.
Seorang lagi aktivis wanita, Shariffa Sabrina Syed Akil, wanita yang tertindas sepatutnya dibela melalui satu jabatan kerajaan atau organisasi khas.
“Paling penting ialah ada satu jabatan yang memimpin wanita dalam membantu mereka menangani masalah buli, ditipu dan penggunaan identiti dalam perniagaan.
“Negara kurang badan atau organisasi yang membantu wanita. Kita memerlukan suara wanita yang tidak ada agenda politik, tidak memihak dan punyai kepentingan peribadi tetapi menyumbangkan pertolongan dengan ikhlas.
“Mampukah kerajaan sediakan semua ini?” katanya yang juga presiden Pertubuhan Pelindungan Khazanah Alam Malaysia (PEKA).
Sementara itu, aktivis pelajar Jean Vaneisha Ravindran pula bimbang kerana undang-undang sedia ada masih tidak mampu melindungi wanita yang menjadi sasaran serangan seksis.
Beliau memberi contoh, kejadian melibatkan seorang timbalan menteri, Tajuddin Abdul Rahman yang mengeluarkan kata-kata seksis kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dalam satu persidangan pada November 2016.
Persidangan tersebut menjadi kekecohan apabila Tajuddin menyebut bahawa Teresa merupakan “satu-satunya perempuan yang ada ‘Kok’” di Seputeh.
Jean Vaneisha berasa kesal kerana ia menunjukkan bahawa serangan itu juga boleh berlaku ke atas seorang ahli parlimen wanita di Dewan Rakyat.
“Ahli Parlimen tidak sewajarnya menggunakan bahasa yang mengandungi unsur-unsur seksis dan menghindarkan komen sedemikian daripada digunakan kepada wanita mahupun ahli Parlimen wanita,” kata Jean Vaneisha. – 8 Mac, 2018.