Speaker kata berhak tolak usul berunsur sindiran, aib kerajaan
Iklan
SPEAKER Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia menegur ahli Parlimen pembangkang yang enggan mematuhi keputusannya dalam menolak sebarang usul dan soalan dari perbahasan.
Katanya, ahli Parlimen berkenaan malah mencabar beliau meletak jawatan sebagai speaker kerana tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.
“Sekarang ada YB yang bukan sahaja tak ikut arahan speaker tapi cabar speaker untuk letak jawatan,” katanya semasa sesi persidangan hari ini.
Jelasnya, beliau berhak menolak sebarang usul sekiranya didapati mempunyai unsur sindiran atau mengaibkan.
“Soalan tak boleh ada sangkaan, tohmahan, puji atau keji. Kalau soalan YB itu dalam fikiran kamu, (dan) menurut tafsiran saya, saya berpendapat ia sindiran, (atau) mengaibkan, saya boleh tolak.
“Maksudnya, saya berhak untuk membaca soalan itu dari perspektif anda, seperti dinyatakan di sini,” katanya,
Beliau mengulas asakan daripada pembangkang untuk mendapatkan penjelasan mengenai kes melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Salah satunya melibatkan usul tergempar oleh Ahli Parlimen Alor Setar Gooi Hsiao Leung yang meminta Perdana Menteri Najib Razak menjelaskan alasan kerajaan untuk tidak menuntut kapal layar mewah Equinimity.
Usul tersebut ditolak pada Isnin lalu, mengikut Peraturan Mesyuarat 18(7)(c).
Pandikar turut menolak dua soalan oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan empat lagi soalan oleh Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua berhubung 1MDB.
Susulan itu, tiga ahli parlimen DAP menuntut Pandikar untuk meletakkan jawatan kerana menolak usul segera yang difailkan pembangkang berhubung kedua-dua isu itu.
Dalam kenyataan bersama, Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V Sivakumar (Batu Gajah) berkata Dewan Rakyat tidak sepatutnya menjadi “sekutu untuk menutup skandal rasuah”.
Ucapan Pandikar hari ini turut dicelah beberapa wakil rakyat pembangkang termasuk Charles Santiago (Klang – DAP), G. Manivannan (Kapar – PKR), Sim Tze Tzin (Bayan Baru – PKR), Hanipa Maidin (Sepang – Amanah).
Dalam celahan tersebut, wakil pembangkang itu antara lain menyatakan sebab di sebalik usul tergempar dan juga soalan yang dikemukakan kepada kerajaan. – 8 Mac, 2018.
MENYUSUL