Dewan Rakyat tolak usul bahas laporan Unicef mengenai kemiskinan anak kota
Iklan
DEWAN Rakyat menolak usul untuk membahaskan laporan Unicef yang mendedahkan kemiskinan dan kekurangan zat makanan di kalangan kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah di Kuala Lumpur.
Usul itu, yang difailkan oleh Charles Santiago (DAP-Klang), ditolak atas dasar pelbagai agensi kerajaan menjalankan kajian terhadap laporan itu, yang diterbitkan minggu lalu, dan tidak ada keperluan mendesak terhadap perkara itu dan bukannya melibatkan kepentingan awam.
“Keputusan speaker itu menggambarkan sikap berpuas hati, dan sebahagian besarnya, sikap kerajaan yang tidak acuh,” kata ahli Parlimen itu kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.
“Ini (usul) harus menjadi keutamaan negara, kerana satu daripada lima kanak-kanak membesar pada kadar lebih perlahan berbanding (kanak-kanak) Thailand, manakala lapan dalam 10 keluarga tidak mempunyai simpanan walaupun RM1.”
Laporan Unicef, berjudul “Kanak-Kanak Pinggiran: kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur”, yang diterbitkan pada 26 Februari, menunjukkan kanak-kanak yang tinggal di flat kos rendah kekurangan dari segi pemakanan, pendidikan, keselamatan dan keadaan hidup yang lain.
Beliau berkata kajian Unicef menunjukkan kegagalan dasar awam dalam menyediakan kualiti hidup yang lebih baik bagi keluarga miskin di bandar.
“Oleh itu, Parlimen perlu membuat Akta Kemiskinan Anak di bawah Suruhanjaya Kemiskinan Anak, yang boleh menjadi penasihat utama kepada kerajaan dan ia mesti melihat punca-punca kemiskinan kanak-kanak, termasuk peluang ekonomi untuk keluarga bagi memastikan mereka dapat memperoleh pendapatan mencukupi dan membina aset yang akan membolehkan mereka terhindar daripada kemiskinan dan faktor risikonya,” katanya.
Pada sidang akhbar yang berasingan, Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Shahrir Abdul Samad berkata ahli Parlimen BN akan mengemukakan isu yang diketengahkan dalam kajian semasa perdebatan mereka.
“Kami bukan dalam penafian tetapi kami tidak boleh negatif terhadap penyelidikan ini. Kami menggalakkan laporan seperti itu kerana Unit Perancang Ekonomi dapat menelitinya.
“Kami bukan bersikap mempertahankan diri, kami fikir ia merupakan kajian yang sangat baik dan kami perlu meningkatkan pelaksanaan dan hasil program kami,” katanya sambil menambah beliau berharap kajian seperti itu akan dilakukan di kawasan pilihan raya dan penempatan Felda. – 8 Mac, 2018.