Iklan

Ahli parlimen Bersatu hipokrit kritik MoU kerajaan perpaduan, kata Fahmi

Alfian Z.M. Tahir2 years ago18th Dec 2022Berita
Pakatan harapan selangor campaign 02
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mempersoalkan di manakah Mas Ermieyati Samsudin ketika PH menandatangani MoU dengan Ismail Sabri Yaakob. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2022.
Iklan

AHLI parlimen Pakatan Harapan, Fahmi Fadzil mengecam Muhyiddin Yassin dan Mas Ermieyati Samsudin dari Bersatu kerana komen mereka mengenai memorandum persefahaman (MoU) yang dianggap “tidak sah” ditandatangani antara parti di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim.

Menteri Komunikasi dan Digital itu mempersoalkan Mas Ermieyati kerana tidak mengkritik PH apabila menandatangani MoU serupa dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menjadi timbalan menteri.

“Serangan terhadap kerajaan perpaduan dimulakan Muhyiddin dan diikuti Mas Ermieyati. Kedua-duanya menggunakan “diktator” dan “haram” sebagai asas untuk mengkritik MoU yang ditandatangani antara parti di bawah kerajaan perpaduan.

“Bagaimanapun mereka sendiri hipokrit. Di manakah Mas Ermieyati semasa kita menandatangani MoU dengan Ismail Sabri? Di bawah fasal 3A MoU itu, ia menyatakan PH mesti menyokong bajet itu bermakna kita tidak mempunyai pilihan lain. Bukankah ketika itu pemerintahan diktator?

“Kami memahami keperluan untuk mempunyai kerajaan yang stabil oleh itu kami memilih untuk menandatangani perjanjian itu. Mas Ermieyati timbalan menteri dan tidak membuat kecoh ketika menjadi sebahagian daripada kerajaan. Begitu juga dengan Muhyiddin,” kata Fahmi.

Pada Jumaat, Muhyiddin yang juga presiden Bersatu mengisytiharkan terma dalam MoU, yang akan menyaksikan ahli Parlimen kehilangan kerusi mereka jika mengundi menentang Anwar dalam undi percaya atau mana-mana undang-undang yang dibentangkan oleh pentadbiran, adalah tidak berperlembagaan.

“Saya tidak pernah melihat undang-undang seperti ini, dan ini boleh digunakan jika ia menyentuh undang-undang antilompat parti. Tetapi ini tidak berkaitan dengan undang-undang antilompat parti.

“Terdapat beberapa pandangan mengatakan perjanjian ini tidak berperlembagaan dan menyalahi undang-undang,” katanya dipetik sebagai berkata.

Mas Ermieyati pula berkata, perjanjian itu adalah permulaan ke arah pemerintahan diktator, sambil menambah ia juga menyalahi undang-undang, berbahaya dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Naib ketua Srikandi Bersatu itu berkata, fasal 4 perjanjian itu menyatakan semua ahli Parlimen dikehendaki mengundi atau menyokong perdana menteri dalam usul berkaitan undi percaya, bil perbekalan atau usul prosedur yang berkuat kuasa ke atas kestabilan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, timbalan presiden PKR Rafizi Ramli berkata semua ahli Parlimen kerajaan bebas mengundi berdasarkan pandangan dan hati nurani mereka sendiri, kecuali dalam hal berkaitan keabsahan kerajaan.

Menteri hal ehwal ekonomi dalam video TikTok menjelaskan rang undang-undang dan usul yang dibentangkan di Dewan Rakyat yang menjejaskan legitimasi kerajaan termasuk undi percaya terhadap kepimpinan perdana menteri dan rang undang-undang perbekalan yang dibawa oleh Putrajaya.

“Ahli Parlimen tidak bebas mengundi berdasarkan pandangan mereka sendiri mengenai perkara ini kerana terdapat pelbagai artikel dan fasal dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antilompat parti yang berkaitan dengan keabsahan kerajaan,” katanya.

Rafizi juga menempelak Muhyiddin dengan berkata adalah ironis pembangkang kini mengkritik MoU itu kerana tidak demokratik apabila Muhyiddin sendiri mengisytiharkan darurat dan menggantung Parlimen selama enam bulan semasa beliau menjadi perdana menteri.

Pada Jumaat, dilaporkan semua parti dalam kerajaan perpaduan mesti memastikan ahli Parlimen mereka menyokong Perdana Menteri Anwar dan pentadbirannya dalam mana-mana usul undi percaya atau rang undang-undang di Dewan Rakyat.

Ia antara lima syarat yang digariskan dalam MoU yang ditandatangani semua pemimpin parti terbabit.

Mana-mana ahli Parlimen yang mengundi menentang kepimpinan Anwar atau rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan secara automatik akan dianggap terlucut sebagai ahli Parlimen.

Perjanjian itu ditandatangani PH, Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

Mereka yang menandatangani MoU itu pengerusi PH Anwar, pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, pengerusi GPS Abang Johari Openg, pengerusi GRS Hajiji Mohd Noor dan presiden Warisan Mohd Shafie Apdal.

Setiausaha agung parti gabungan masing-masing turut menandatangani dokumen itu. – 18 Disember, 2022.

Iklan
Iklan