Iklan

Pakatan tidak sah daftar kerana siasatan pada Bersatu

Yasmin Ramlan7 years ago8th Mar 2018Berita
Kedah siamese ph 20180218 tmihasnoor 003  (1)
Kementerian Dalam Negeri menjelaskan, pendaftaran Pakatan Harapan masih belum diluluskan kerana Jabatan Perdaftaran Pertubuhan masih menyiasat isu melibatkan parti Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2018.
Iklan

KEMENTERIAN Dalam Negeri menjelaskan, pendaftaran Pakatan Harapan (PH) masih masih belum diluluskan kerana Jabatan Perdaftaran Pertubuhan (RoS) masih menyiasat isu melibatkan parti Bersatu.

Ia menjelaskan, siasatan itu meliputi pematuhan ke atas perlembagaan parti semasa perhimpunan agung Bersatu yang dijalankan pada akhir tahun lalu.

Dalam satu jawapan bertulis kepada Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin kementerian itu juga menyatakan bahawa tiada sebarang kriteria tambahan yang dikenakan untuk permohonan tersebut.

“RoS telah menerima permohonan pendaftaran PH serta laporan berkaitan daripada parti komponennya iaitu Democratic Action Party (DAP) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“RoS sedang menjalankan siasatan terhadap pelbagai aduan yang diterima berhubung Bersatu selain meneliti laporan yang telah dikemukakan bagi memastikan Perhimpunan Agung Bersatu yang diadakan pada 30 Disember 2017 dilaksanakan selaras dengan perlembagaan parti tersebut,” jawapan itu dipetik.

Sim menuntut Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan sebab RoS gagal meluluskan pendaftaran PH dan logonya, memandangkan DAP dan Bersatu telahpun memenuhi syarat yang ditetapkan. 

Katanya lagi, jawapan lisan bertarikh 6 Mac itu dilihat seolah-olah RoS beralasan untuk sengaja menangguhkan pendaftaran gabungan parti pembangkang itu.

“Isunya adalah laporan terhadap Bersatu…. mereka telah siap buat mesyuarat agung pada 30 Disember 2017. Sudah lebih daripada 70 hari. Mengapa RoS masih belum lengkapkan siasatan?

“Kita mahu bersangka baik dengan RoS tapi rakyat di luar sana ada persepsi bahawa RoS lambat…. atau mungkin sengaja melambatkan (proses pendaftaran),” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Tambah beliau, kelewatan pendaftaran itu seolah-olah menafikan keadilan terhadap PH.

“Jadi kita mahu RoS bertindak pantas kerana menunda keadilan bermaksud menafikan keadilan.

“Isu kedua, Bersatu dan DAP adalah parti yang sah walaupun ada aduan daripada ‘duri dalam daging’. Jadi aduan ini tidak boleh diambil kira,” katanya.

Kementerian Dalam Negeri dalam jawapan lisan 23 Oktober lalu mengatakan sudah menjadi tanggungjawab RoS meneliti setiap permohonan parti politik bagi memelihara keselamatan dan kepentingan awam. – 8 Mac, 2018.

Iklan
Iklan