Iklan

Hadkan hak mengundi hanya bagi undi percaya dan perbekalan sahaja, kata Bersih

Alfian Z.M. Tahir2 years ago18th Dec 2022Berita
Thomas fann 220920  full
Pengerusi Bersih Thomas Fann berkata pemberian kuasa syarat ke atas ahli Parlimen untuk memaksa mereka mengundi mengikut arahan parti hanya akan menghapuskan semua autonomi ahli Parlimen dalam mengundi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Disember, 2022.
Iklan

PARTI politik tidak boleh mengenakan syarat ke atas ahli Parlimen untuk memaksa mereka mengundi mengikut arahan parti berkenaan semua rang undang-undang di Dewan Rakyat, kata pemerhati pilihan raya Bersih hari ini.

Pengerusinya Thomas Fann berkata pemberian kuasa sedemikian kepada parti politik hanya akan menghapuskan semua autonomi ahli Parlimen dalam mengundi.

Beliau berkata demikian berhubung persetujuan semua gabungan dalam kerajaan perpaduan yang antara lain menetapkan semua parti mesti memastikan ahli Parlimen mereka menyokong Anwar Ibrahim dan pentadbirannya dalam mana-mana usul atau rang undang-undang kepercayaan di Dewan Rakyat.

Ini adalah satu daripada lima syarat yang digariskan dalam perjanjian yang ditandatangani oleh semua pemimpin parti terbabit.

Berikutan itu mengikut perjanjian mana-mana ahli Parlimen yang mengundi menentang kepimpinan Anwar atau rang undang-undang yang dibentangkan oleh kerajaan secara automatik akan dianggap meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen, mengikut akta anti-lompat.

Fann bagaimanapun berkata ini tidak sepatutnya berlaku.

Beliau menambah semua parti yang berniat meminda perlembagaan parti mereka untuk menghadkan kebebasan pengundian ahli parlimen hanya atas undi percaya dan perbekalan sahaja. 

Beliau berkata kebebasan pengundian untuk ahli parlimen, ketewasan kerajaan dalam RUU penting dan bahkan RUU Perlembagaan tidak boleh dilihat sebagai penyataan ketidakpercayaan kepada kerajaan. 

“Jika tidak, parti-parti boleh memaksa ahli-ahli parlimen mengundi ikut arahan parti untuk mengelakkan ketidakpercayaan kepada kerajaan,” katanya. 

Bagaimanapun Fann berkata Bersih senang untuk mengetahui mengikut maksud tersirat Perkara 3(b) setiap portfolio kementerian akan diteliti dan disemak oleh sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP). 

Beliau berkata kerajaan mesti membuat komitmen yang jelas untuk melantik satu JPKP bagi setiap portfolio kementerian

Beliau juga berkata Bersih bersedia untuk bertemu dengan Anwar, Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said dan ketua pembangkang Hamzah Zainudin untuk membincangkan pengukuhan demokrasi berbilang parti dan parlimen.

Sementara itu Bersih turut mencadangkan supaya memperkenalkan beberapa amalan seperti:

1. Keahlian jawatankuasa dibahagikan merentasi gabungan parti berdasarkan bilangan ahli parlimen persendirian (yang bukan menteri, Speaker atau Timbalan Speaker), dan bukan atas bilangan semua ahli Parlimen. Pembahagian berdasarkan bilangan semua ahli Parlimen akan memberikan perwakilan berlebihan kepada parti-parti yang mempunyai ramai menteri.

2. Keahlian jawatankuasa perlu dibahagikan dengan mengambil kira minat dan kepakaran ahli-ahli Parlimen, bukan secara semberono ditugaskan oleh ketua parti. 

3. Pengerusi jawatankuasa perlu diberikan kepada parti berdasarkan kadar ahli Parlimen*persendirian. 

4. Pengerusi dan timbalan pengerusi perlu mewakili kedua-dua belah dalam Parlimen, satu daripada kerajaan dan satu daripada pembangkang untuk memastikan semak dan imbang di dalam jawatankuasa. 

5. Semua pengerusi dan timbalan pengerusi jawatankuasa perlu dibayar dengan elaun tambahan kerana Jawatankuasa perlu bergerak sepanjang tahun, walaupun apabila Parlimen ditangguhkan. 

Pakatan Harapan pimpinan Anwar menandatangani perjanjian dengan Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan untuk memastikan beliau mengekalkan sokongan majoriti dalam kerajaan. – 18 Disember, 2022.

Iklan
Iklan