Iklan

Shahrir gesa 3 ahli Parlimen DAP diambil tindakan kerana hina Parlimen

Melati A. Jalil7 years ago8th Mar 2018Berita
Felda shahrir samad 20180115 tmihasnoor 008
Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Shahrir Abdul Samad berkata kenyataan ketiga-tiga ahli Parlimen itu mempunyai unsur pratimbangan dan ia merupakan satu kesalahan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Mac, 2018.
Iklan

PENGERUSI Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC) Shahrir Abdul Samad menggesa tiga ahli Parlimen DAP diambil tindakan kerana menghina Parlimen dengan menuduh Speaker Pandikar Amin Mulia mengadakan pakatan sulit dalam menutup skandal rasuah.

Beliau berkata Nga Kor Ming (Taiping), Ngeh Koo Ham (Beruas) dan V. Sivakumar (Batu Gajah) meminta Pandikar meletak jawatan selepas speaker menolak satu usul tergempar mengenai kapal pesiar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan soalan berkaitan firma pelaburan negara itu.

“Tidak semua soalan 1MDB ditolak, dan speaker menjelaskan kepada media pendiriannya mengenai soalan yang berkaitan dengan 1MDB.

“Jadi, kami mahu tindakan diambil terhadap tiga individu ini,” katanya semasa sidang akhbar di bangunan Parlimen hari ini.

Semalam, tiga ahli Parlimen DAP mengeluarkan kenyataan, dengan mengatakan Pandikar gagal menegakkan kebenaran dan perkara yang paling mulia untuk beliau lakukan ialah meletakkan jawatan.

“Jika tidak, Parlimen akan berisiko kehilangan imej dan statusnya yang mulia,” kata mereka.

Shahrir berkata kenyataan ketiga-tiga ahli Parlimen itu mempunyai unsur pratimbangan dan memandai-mandai dan salah bagi mereka untuk berbuat demikian.

Awal minggu ini, Pandikar menolak usul tergempar oleh Gooi Hsiao Leung (PKR-Alor Setar), yang menggesa Perdana Menteri Najib Razak menjelaskan mengapa kerajaan tidak mahu menuntut kapal layar Equanimity yang dirampas.

Usul itu ditolak di bawah Peraturan Mesyuarat 18(7)(c), yang membolehkan speaker menolak sebarang usul yang dikemukakan kepadanya jika ia melanggar Peraturan Mesyuarat.

Semalam, Pandikar sekali lagi menolak dua soalan berkaitan 1MDB oleh Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) dan empat lagi soalan oleh Tony Pua (DAP-Petaling Jaya Utara). – 8 Mac, 2018.

Iklan
Iklan